DAP bermasalah besar apabila nampak komik Hew tidak bermasalah

Belum pulih daripada ribut taufan isu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang menyebabkan beberapa ahli dan Adunnya ditahan di bawah Sosma, DAP terpaksa menghadapi satu lagi ribut taufan ekoran edaran buku komik “Inisiatif Jalur dan Laluan” (BRI) di sekolah.

Sejurus selepas kandungan komik itu disensasikan bekas perdana menteri Najib Razak, komik tersebut yang dikatakan bersifat propaganda dilarang oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk diedarkan ke sekolah.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pula berkata terdapat “perkara tidak betul” dalam komik berkenaan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang menerbit dan mengedarnya.

Meskipun DAP tidak terlibat dengan penerbitan komik tersebut, tapi persepsinya ialah komik yang diterbitkan hasil kerjasama kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia Hew Kuan Yau, yang juga bekas ahli DAP yang dikenali sebagai Superman, dengan artis tempatan Chong Po Lin dilihat seolah-olah seperti berkait dengan DAP.

Antara sebab utama timbul persepsi sedemikian ialah laman web Muzium Kebudayaan dan Komik Asia menyatakan ia adalah satu projek kerajaan Pulau Pinang dan kebetulan ia adalah satu-satunya kerajaan negeri yang dipimpin DAP.

Kedua, walaupun Hew bukan lagi ahli DAP, beliau dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) yang dipengerusikan Pengerusi DAP Tan Kok Wai pada Januari lalu. Kekerapan kehadiran Hew di pentas ceramah DAP meskipun tidak lagi menjadi ahli parti menyebabkan persepsi Hew sebagai ahli DAP tetap menebal di mata awam. Oleh itu, segala yang dilakukan Hew akan dipersepsikan berkait dengan DAP.

Bukan itu sahaja, komik BRI itu dilihat seolah-olah menerima sokongan daripada DAP setelah 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk lima Adun parti itu mengeluarkan kenyataan menyelar Maszlee dan membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah yang diumumkan Maszlee.

Dalam cubaan membela komik terbitannya, Hew tampil menafikan komik itu berunsur propaganda dan menyatakan buku itu turut disampaikan kepada Presiden China Xi JinPing April lalu di satu majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ekoran itu, Pejabat Perdana Menteri dengan lantas menyatakan komik yang disampaikan kepada presiden China bukanlah hadiah rasmi dan ia dibawa tanpa mengikut prosedur.

Antara perkara yang paling kontroversi dalam komik BRI ialah gambaran cerita yang cenderung terhadap China dan menggambarkan pemuda Melayu Malaysia yang menyokong komuniti Uighur yang ditindas di China sebagai radikal. Kerana itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Hew sebagai “superman bodoh”.

Komik BRI kini menjadi punca perbalahan terbuka antara PPBM dan DAP di media.

Masalah terbesar dalam kontroversi ini ialah ketidakupayaan DAP sendiri untuk melihat Hew mahupun komik Hew itu bermasalah kepada PH mahupun perpaduan negara.

Sehingga kini, pimpinan tertinggi DAP belum menyatakan pendirian rasmi terhadap komik BRI, Hew, ataupun suara akar umbi DAP yang menyokong komik BRI. Bukan itu sahaja, mereka yang bergantung hidup pada DAP juga sunyi belaka.

Pada masa yang sama, pimpinan tertinggi DAP dilihat masih sibuk meraih mata politik dengan menyokong tindakan Wong Yan Ke, graduan Universiti Malaya yang mengeluar dan menayangkan plakad bertulis “Tolak Rasis” dan “Undur VC” ketika berada di pentas istiadat konvokesyen universiti itu minggu lalu.

Tindakan DAP ini juga menghantar mesej sangat mengelirukan kerana perdana menteri dan permaisuri agong menyatakan pandangan berbeza mereka terhadap tindakan Wong bahawa majlis konvokesyen bukanlah tempat sesuai untuk membuat protes sedemikian.

Oleh itu, selepas ini, DAP tidak perlu menudingkan jari kepada sesiapa atas kehilangan populariti parti sendiri. Ia bukan salah Umno dan Najib. Dan semestinya ia juga bukan salah PAS. Boleh sahaja salahkan PPBM dan juga pimpinan PPBM di hati secara senyap-senyap kerana enggan mengikut rentak parti tapi ketahuilah kebanyakannya adalah punca diri sendiri.

TimmySay
FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker