#Belanjawan2020 terlalu optimistik, kata ahli ekonomi

Seorang ahli ekonomi menggesa Putrajaya mengkaji semula Belanjawan 2020 dengan mengambil kira faktor ekonomi yang diluar kawalannya.

Hoo Ke Ping berkata kerajaan terlalu optimistik kerana menetapkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.8%.

Pertama, katanya, Putrajaya mengandaikan petrol akan mencecah harga purata AS$62 setong sedangkan kebanyakan penganalisis menjangkakan tidak lebih AS$60.

Beliau memberi amaran tentang kemungkinan harga minyak sejagat jatuh dan pada ketika itu kerajaan akan mendapati ia dalam kedudukan yang sukar.



Hoo juga bercakap mengenai prospek eksport minyak sawit yang suram, mengatakan Eropah masih meneruskan kempen terhadap penggunaan komoditi itu, dan India memberi isyarat ia mungkin mengurangkan pembelian dari Malaysia.

Beliau berkata pelancongan, yang merupakan penjana hasil penting, juga mungkin terkesan dengan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Perang perdagangan menjejaskan perniagaaan China dan itu pula menjejaskan pelancongan. Di serata rantau ini, terdapat penurunan bilangan pelancong dari China,” katanya kepada FMT.

Hoo juga menarik perhatian kepada kemerosotan di sektor pembuatan, mengatakan ia menjejaskan sektor elektrikal dan elektronik serta perkayuan dan produk berkaitan kayu.



Beliau menggambarkan prestasi semasa Bursa Malaysia sebagai membosankan dan lebihan hartanah tak terjual memberi masalah pada system perbankan.

“Kerana bank terbeban dan pretasi pasaran saham kurang baik, susah untuk lihat bagaimana syarikat boleh kumpul dana untuk berkembang.

“Jika kerajaan tidak mengkaji semula belanjawannya, saya percaya ia akan terpaksa meminjam lebih banyak atau menjual lebih banyak aset bagi menenuhi perbelanjaan belanjawan,” katanya.

Abu Sofian Yaacob, seorang pensyarah ekonomi di Universiti Putra Malaysia berkata, tidak mustahil KDNK boleh tumbuh antara 4.5% dan 4.8%.



Agensi penarafan antarabangsa, Fitch meramalkan pertumbuhan KDNK 4.5% pada 2020, manakala Moody meramalkan 4.3%.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker