Zahid pertahan Hisham berhubung dakwaan komplot belakang tabir

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan sokongan kepada anggota parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein yang dikaitkan dengan dakwaan mahu menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Zahid berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di Shah Alam selepas merasmikan konvensyen Umno Selangor.

“Saya fikir itu hanya satu perkara yang dituduh kepada Hishammuddin. Dia tidak begitu.

“Dia ikhlas untuk melihat Umno terus bersatu padu,”katanya.

Sekretariat Pakatan Harapan (PH) pada Selasa lalu mendedahkan terdapat rundingan pintu belakang yang sedang diusahakan Hishammuddin untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberi bayangan ada usaha di belakang tabir sedang berlaku bagi tujuan peralihan kuasa ketika perbahasan Belanjawan 2020.

Mengulas lanjut perkara itu, Zahid berkata setiap parti perlu menyokong sebarang usaha yang dilakukan bagi menyemai kesepakatan antara parti-parti berasaskan Melayu dan Islam.

Bila ditanya mengenai pakatan itu, beliau sekali lagi menyuarakan sokongannya terhadap usaha dilakukan oleh bekas naib presiden Umno itu.

“Dan tentu semua pihak harus berusaha untuk menggamit kebersamaan parti-parti Islam dan Melayu untuk bekerjasama.

“Saya mendukung apa yang diusahakan oleh Datuk Seri Hisham dan kita harus bersama-sama untuk menerjemahkan pelaksanaannya,” katanya.

Hishammuddin bagaimanapun pada Rabu menepis dakwaan tersebut dan menjelaskan beliau tidak lagi mempunyai kedudukan yang berpengaruh dalam Umno.

Beliau juga menafikan berlakunya pertemuan sulit dengan anggota parlimen dari Bersatu dan PKR untuk berbincang bagi menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri kelapan.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker