Nak kempen apa, pilihan raya bukan esok – Hishammuddin

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menafikan dakwaan terbabit berkempen supaya UMNO dan PAS menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bekas Menteri Pertahanan itu turut menyifatkan dakwaan Majlis Setiausaha PH semalam sebagai tidak masuk akal.

“Kononnya ada kempen untuk wujud kerajaan baharu dengan meminggirkan DAP dan AMANAH. Mahu kempen apa, pilihan raya bukan esok.

“Apa yang berlaku sekarang adalah petanda semuanya bagai tidak menentu dalam PH,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.



Serangan demikian, katanya, tidak perlu diacu kepada beliau jika pemimpin PH yakin dengan sokongan sedia ada.

Menyifatkan dirinya tidak berpengaruh, Hishammuddin meminta pihak yang menuduhnya supaya menjaga hal parti sendiri dan tidak menyalahkan pihak lain.

“Barisan Nasional, UMNO atau Ahli Parlimen Sembrong tidak boleh menjadi kambing hitam untuk masalah mereka,” katanya.

Mengulas dakwaan beliau menjadi dalang menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi Perdana Menteri, Hishammuddin menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.



“Apa yang dia cakap di Dewan Rakyat semalam tiada yang baharu. Saya tidak pegang jawatan dalam parti, jadi untuk mempengaruhi parti menyekat Anwar daripada menjadi Perdana Menteri tidak masuk akal.

“Parti kita pembangkang, tidak ada kena mengena dengan jawatan Perdana Menteri. Kenapa fokus pada BN dan UMNO, melainkan dia memerlukan sokongan kita.

“Saya nak tanya, apakah tidak yakin dengan sokongan parti sendiri? Kalau mahu sasar saya seorang bermakna Sembrong masih relevan,” katanya.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan semalam menyifatkan tindakan Hishammuddin mencadangkan UMNO dan PAS menyertai kerajaan PH tanpa penyertaan DAP dan AMANAH akan menghidupkan kembali budaya politik dan pentadbiran negara berasaskan kaum.



BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker