Belanjawan 2020 Hanya Permainkan Angka Kelirukan Rakyat – Dr Ahmad Zahid

Share


Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahun kedua Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pimpinan negara, seharusnya mereka sudah boleh membiasakan diri sebagai kerajaan, namun sayangnya, ramai di kalangan pemimpin kerajaan masih membawa watak sebagai pembangkang.

“Ini terbukti apabila Yang Berhormat Bagan membentangkangkan Belanjawan 2020, ucapan beliau dimulakan dengan kenyataan bersifat provokasi, menyalahkan pentadbiran terdahulu dan sangat sarkastik. Beliau terus mengamalkan ‘blame game’ dan tetap menyalahkan pihak lain,” ujar beliau dalam ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) hari ini.

Mengulas lebih lanjut ujar Zahid, setiap kali belanjawan dibentangkan, antara pengumuman yang dinantikan oleh rakyat terutama golongan M40 dan B40 adalah pengumuman untuk meringankan kos sara hidup mereka.

“Dahulu semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), perkara ini seringkali menjadi fokus utama kerajaan. Namun apa yang dibentangkan pada kali ini amat mengecewakan kerana inisiatif kos sara hidup yang diumumkan hanya sekadar melepas batuk ditangga.

“Hari ini, saya akan kemukakan beberapa bukti bagi menunjukkan kerajaan sememangnya amat kurang mementingkan hal ehwal yang berkaitan dengan kos sara hidup rakyat,” tegas beliau.

Zahid telah mengemukakan lapan bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan tidak mementingkan hal ehwal berkaitan kos sara hidup rakyat dan antara yang disebut adalah berkaitan Pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) kepada penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan yang diibaratkan seolah-olah kakitangan awam hanya dihargai selepas mereka meninggal dunia.

“Kedua, dalam Bajet 2018, BN telah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.6 juta kakitangan awam yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 billion yang sepatutnya dilaksanakan pada Julai 2018 tetapi pada bajet kali ini kita dapati tiada langsung kenaikan gaji untuk penjawat awam, tidakkah kerajaan sedar bahawa memberi kenaikan gaji ini adalah penting untuk mengurangkan kos sara hidup mereka pada tahun-tahun semakin getir ini. Dimanakah tanggungjawab kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam?

“Ketiga, jumlah keseluruhan peruntukan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 adalah sebenarnya jauh lebih rendah berbanding BR1M untuk tahun 2018. Saya dapati BN dahulu telah memperuntukan sebanyak RM6.8 bilion untuk bantuan BR1M. Sebaliknya kerajaan melalui bajet kali ini hanya memperuntukan hanya RM5 bilion sahaja. Berlaku pengurangan bantuan sara hidup sebanyak RM1.8 bilion. Ia adalah satu jumlah yang cukup besar sebenarnya,” jelasnya.

Tambah Zahid lagi, rakyat sedang menilai dan melihat prestasi kerajaan dalam tempoh lebih kurang setahun lima bulan ini dan apa yang jelas kelihatan adalah beban hutang negara sejak PH mentadbir negara.

“Hutang negara mengalami peningkatan paling besar sebanyak RM55 bilion antara akhir tahun 2017 hingga akhir tahun 2018. Malah, dalam tempoh dua bulan sahaja pada tahun 2019, hutang rasmi negara telah meningkat sebanyak RM20.5 bilion menjadikan angka rasmi hutang negara kepada RM761.5 bilion.

“Sebetulnya saya merasa hairan kenapa kerajaan sanggup tidak berbuat sebarang langkah yang konstruktif untuk memperbaiki kelemahan ini. Adakah Bagan tidak mengetahui bahawa Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah Dr. Jomo K Sundaram sendiri pernah memberi gambaran bahawa kerajaan perlu bersedia berdepan zaman lebih sukar akibat ekonomi dunia tidak menentu.

“Kerajaan juga ternyata telah gagal membaca dengan baik laporan unjuran International Monetary Fund (IMF) bagi tahun 2019 yang secara jelas menyatakan pertumbuhan ekonomi akan terus merosot akibat faktor dagangan dunia yang terus lembab dan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin merosot. IMF mengganggarkan pertumbuhan ekonomi dunia merosot sebanyak 0.3%,” bidas beliau.

Justeru, beliau menyifatkan Belanjawan 2020 hanyalah satu bajet yang cuma mencerminkan ‘budget intellectuality’ melalui percubaan memainkan angka-angka yang mungkin direka sendiri tanpa rujukan pakar.

“Pada saya, kerajaan sekali lagi dilihat cuba memperbodohkan rakyat tetapi sebenarnya tidak berjaya kerana ia mudah dikesan oleh rakyat dengan pantas.

“Oleh itu, dapat saya simpulkan, rata-rata penerimaan rakyat terhadap prestasi kerajaan PH ini adalah negatif. Majoriti rakyat di luar sana, tidak berpuas hati, marah, kecewa dan merasa tertipu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini. Hanya sebilangan kecil sahaja yang berpuas hati,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *