Serangan Hagibis, sehingga 35 maut

Gambar dari udara menunjukkan jambatan kereta api musnah di sungai Chikuma yang melimpah selepas serangan Taufan Hagibis di Ueda, Nagano semalam. -Foto AFP

TOKYO: Puluhan ribu penyelamat berusaha membantu penduduk yang terperangkap akibat tanah runtuh dan banjir di Jepun hari ini susulan serangan taufan ganas yang kini mengorbankan sehingga 35 orang, kata pihak berkuasa dan media tempatan.

Taufan Hagibis kini menjauhi kawasan daratan pagi semalam namun meninggalkan kesan kemusnahan dahsyat di rantau sekitar.

Lebih 100,000 penyelamat termasuk 31,000 askar membersihkan laluan sejak semalam untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan air sungai melimpahi tebing.

Penduduk diselamatkan selepas kawasan rumah mereka banjir di Date, Fukushima, semalam. -Foto EPA

Kemusnahan itu memaksa Piala Dunia Ragbi dianjurkan Jepun membatalkan beberapa perlawanan namun pasukan ‘Brave Blossom’ berjaya menumpaskan Scotland semalam dan melayakkan mereka ke suku akhir buat kali pertama.

Kerajaan meletakkan angka maut kepada 14 orang dengan 11 orang hilang namun media tempatan berkata, sekurang-kurangnya 35 maut manakala 11 lagi hilang.

Sungai melimpahi tebing hampir di 12 lokasi termasuk di Nagano, tengah Jepun, menyebabkan air sungai Chikuma membanjiri kejiranan bersebelahan mencecah tingkat kedua.

Hagibis membadai pulau utama Jepun di Honsu malam Sabtu lalu sebagai taufan paling ganas membawa angin dengan kelajuan sehingga 216 kilometer sejam.

Taufan itu menyebabkan lebih 110,000 rumah bergelap malam semalam dengan yang lain terputus bekalan air.

Perdana Menteri Shinzo Abe berkata, kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik. -AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker