Syarat buat pemandu e-hailing membebankan, kata pemandu

Share


Dua syarat baru yang dikenakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas pemandu perkhidmatan e-hailing dianggap tidak perlu dan membebankan.

Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing Malaysia (Mehda), Daryl Chong, berkata ketetapan dibuat itu sangat mengecewakan.

Katanya dalam tempoh kurang dari empat hari untuk dikuatkuasakan, pemandu terbabit bertumpu ke pejabat JPJ di seluruh negara sejak semalam dan pegawai agensi terbabit tidak dapat memberikan maklumat yang diperlukan.

Dua keperluan yang ditetapkan Apad dan JPJ ialah, kod kenderaan ditukar kepada AH, dan salinan permit kenderaan e-hailing (EVP) yang mesti disimpan.

“Sejak 24 jam lalu, pemandu e-hailing pergi ke pejabat JPJ di seluruh negara dan mereka amat kecewa kerana tidak dapat melakukan perubahan status kenderaan seperti yang diarahkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Antara alasan yang diberikan JPJ, kata Chong, ialah mereka tidak menerima butiran EVP daripada operator perkhidmatan e-hailing, perlindungan insurans harian yang tidak dapat diterima, perlukan pemeriksaan Puspakom walaupun untuk kenderaan baru, dan surat pengesahan pembiayaan daripada pihak bank.

“Nampaknya cawangan JPJ pun tak sedar mengenai prosedur yang berkenaan dan mereka memberi bermacam-macam alasan kepada pemandu.

“Tak ada garis panduan yang sepatutnya diberikan kepada kami untuk mengetahui bagaimana proses ini perlu dibuat,” katanya.

Justeru Chong berharap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberikan kelonggaran kepada mereka kerana mustahil keperluan yang ditetapkan itu boleh diselesaikan dalam tempoh yang sangat terhad.

“Nanti kami terpaksa berbaris panjang di cawangan JPJ kerana notis yang singkat ini,” katanya.

Chong juga menambah, pemandu terbabit bimbang dengan perubahan status itu, ia akan menjejaskan nilai jualan semula kenderaan berkenaan.

“Kalau kerajaan mahu mengetahui jumlah kenderaan e-hailing, mereka sepatutnya boleh melakukan hal itu melalui jumlah pengeluaran EVP,” katanya.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *