Program balas : Dr M tetamu Kongres Maruah, Anwar ‘diangkat’ ke Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia

Share


Satu program dilihat ‘program balas’ kepada Kongres Maruah Melayu, berlangsung Ahad lalu dan kini menjadi polemik landskap politik negara, diadakan hujung bulan ini, bakal menampilkan Anwar Ibrahim.

Menurut sumber, seminar bertemakan “Gagasan Pembinaan Negara Bangsa: Cabaran, Hala Tuju dan Masa Depan” – akan membawa perspektif berbeza berbanding Kongres Maruah Melayu dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sumber yang dekat dengan PKR berkata, pihak penganjur mengadakan perbincangan tersebut kerana berhasrat mengetengahkan idea dan amanat Anwar dalam isu-isu berbangkit melibatkan kaum Melayu dalam ucapan pelancaran program tersebut.

“Senang cerita, kali ini, amanat Anwar pula diangkat sebagai pembela orang Melayu dan Islam sebab beliau tidak dijemput ke Kongres Maruah Melayu minggu lepas,” kata beliau kepada FMT.

Jelas beliau, program tersebut dinamakan Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia, anjuran beberapa badan bukan kerajaan Melayu dan akan berlangsung pada 26 Okt ini di Pusat Konvensyen Bangi.

Anwar, yang disebut-sebut bakal menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, pada awalnya menyebut tidak menerima jemputan ke Kongres Maruah Melayu. Bagaimanapun kelmarin beliau menjelaskan penganjur ada menghantar jemputan lewat tetapi tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain.

Tinjauan FMT di media sosial mendapati poster dan makluman mengenai seminar tersebut sudah disebarkan untuk pendaftaran dan tempahan tempat duduk.
Menerusi maklumat-maklumat yang tertera pada poster tersebut, tiga NGO menjadi penganjur utama.

Mereka ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Antara ahli panel terdiri daripada Mohd Parid Sheikh Ahmad dari Ikram Malaysia, Thomas Fann (Bersih 2.0), Sureh Kumar P Govind (Friendship Group For Inter Religious Service), Atiqah Syairah Shahruddin (Majlis Belia Malaysia) dan Mohamad Fazril Mohd Saleh (Abim).
Bagaimanapun, ABIM ketika dihubungi FMT menafikan penganjuran tersebut satu programa balas kepada Kongres Maruah Melayu yang dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh utama dan menyampaikan ucapan.

Setiusaha Agungnya Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata seminar tersebut sudah dirancang beberapa bulan lalu oleh pihak penganjur termasuk usaha mendapatkan para panel yang disenaraikan.

“Kami dah sahkan dengan panel sejak bulan lepas. Objektif utama adalah untuk mengeratkan perpaduan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah mengesahkan kehadiran ahli Parlimen Port Dickson itu ke program tersebut.

“Hadir,” kata beliau kepada FMT.

Selain itu, Anwar juga dijadual menyampaikan pidato dalam seminar nasional bertajuk “Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai” di Shah Alam, esok. Ia dianjurkan oleh kerajaan negri Selangor.

Ahad lalu, penganjuran Kongres Maruah Melayu dihadiri pemimpin Umno, PAS dan Pakatan Harapan diketuai Mahathir yang mengetepikan perbezaan politik demi matlamat lebih besar dalam usaha mengembalikan martabat bangsa di Malaysia yang merupakan kaum majoriti.

Antara mereka hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Noh Omar, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

FMT



One thought on “Program balas : Dr M tetamu Kongres Maruah, Anwar ‘diangkat’ ke Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia

  • October 9, 2019 at 2:07 pm
    Permalink

    HANYA MAMPU BERSEMINAR. EKONOMI MAKIN TERUK. BOLEH BLAHLAH PH…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *