Akhbar Utusan, Kosmo kini milik Aurora Mulia Syed Mokhtar, Media Prima Berhad

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) akan melepaskan 70 peratus kepentingan dalam anak syarikatnya, Dilof Sdn Bhd (Dilof) kepada Aurora Mulia Sdn Bhd (Aurora Mulia).

Dalam satu kenyataan, Utusan berkata Dilof adalah anak syarikat 100 peratus miliknya yang juga pemegang permit penerbitan bagi dua akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

Menurut kenyataan itu, penyerahan kepentingan dalam Dilof dibuat untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana berkenaan.

“Ini untuk memastikan Utusan yang berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo yang berusia 15 tahun dapat diteruskan.



“Utusan kini berhadapan dengan masalah aliran tunai dan pelaburan dalam Dilof ini akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan,” demikian menurut kenyataan berkenaan di Kuala Lumpur.

Aurora Mulia dipilih kerana syarikat berkenaan adalah pemegang saham utama Media Prima Bhd.

“Pelaburan ini juga bakal menyaksikan penggabungan jabatan-jabatan sokongan kepada penerbitan beberapa jenama akhbar utama di negara ini seperti percetakan, pengedaran dan pengiklanan,” katanya.

Julai lalu  Aurora Mulia Sdn. Bhd. (Aurora Mulia) telah mendapatkan 123.02 juta saham atau 11.09 peratus kepentingan dalam kumpulan media terbesar negara, Media Prima Berhad daripada Gabungan Kesturi Sdn. Bhd.



Syed Danial Syed Mokhtar dan Aurora Mulia

Semakan data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang ahli lembaga pengarah Aurora Mulia adalah anak kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Syed Danial Syed Mokhtar.

Pembelian saham itu menjadikan Syed Mokhtar sebagai pemegang saham ketiga terbesar dalam Media Prima setakat ini.

Utusan mengalami krisis kewangan sehingga tidak mampu membayar gaji wartawan dan kakitangannya. Pembelian syarikat Tan Sri Syed Mokhtar ini pasti mampu menyelamatkan Utusan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker