KWSP mungkin jual kepentingan plus jika dapat tawaran sesuai.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tunku Alizakri Alias

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meneliti untuk menjual kepentingannya dalam PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) sekiranya menerima tawaran bersesuaian, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tunku Alizakri Alias.

Beliau berkata, KWSP akan mengkaji dan mempertimbang tawaran itu jika ia terbukti dapat memberi manfaat kepada ahlinya dari segi pulangan dan dividen.

“Pada masa ini, PLUS merupakan aset yang amat positif dan memberi pulangan kukuh selain kedudukanny sebagai organisasi yang diurus dengan baik.

“Dari segi perkhidmatan pula, ia mengendalikan lebuh raya sepanjang lebih 1,200 kilometer dan menyediakan perkhidmatan yang amat baik. Oleh itu, dari perspektif KWSP, kami amat berpuas hati dengan pulangan PLUS selain kedudukannya sebagai aset yang kukuh,” katanya kepada media di luar Forum Megatrends Khazanah 2019 di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada awal hari ini mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji sebarang tawaran bagi mengambilalih PLUS, Tunku Alizakri berkata komen itu berkemungkinan dibuat bagi pihak Khazanah Nasional Bhd yang merupakan dana kekayaan negara dan turut memiliki kepentingan dalam konsesi lebuh raya bertol tersebut.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan akan meneliti bidaan bagi membeli PLUS, termasuk pihak asing dan beliau dipercayai merujuk kepada tawaran pengambilalihan oleh firma ekuiti persendirian berpangkalan di Hong Kong dan Singapura, RRJ Capital Ltd.

“Sebarang bidaan oleh firma (bagi mengambilalih PLUS) akan dikaji oleh kerajaan. Jika ia (bidaan) sesuai dengan kehendak kita, kita akan layan permintaan mereka,” kata Perdana Menteri.

Khazanah memiliki kepentingan sebanyak 51 peratus dalam PLUS manakala KWSP sebanyak 49 peratus susulan langkah pengambilalihan pada 2011 yang membabitkan transaksi bernilai RM32 bilion.

Selain itu, ditanya mengenai dividen untuk pemegang sahamnya, Tunku Alizakri berkata pihaknya tidak boleh memberi sebarang hala tuju yang jelas (buat masa ini) dan mengakui prestasi ekonomi mencabar di peringkat domestik dan global akan turut memberi kesan bagi kemajuan masa depan.

“Kesemua data itu jelas menunjukkan persekitaran yang mencabar. Sehubungan itu, di pihak KWSP, kami akan memastikan aset ini diurus dengan baik. Namun, sekiranya perlu membeli, kami mengutamakan aset terbaik dari segi jangka panjang dan jika perlu dijual, ia adalah berdasarkan tawaran terbaik,” katanya.

Malah, menurutnya, KWSP juga sentiasa berusaha dan meninjau untuk membeli dan melepaskan aset dalam usaha memberi dividen kepada para pemegang sahamnya.

“Persoalannya, adakah kita mempunyai proses tadbir urus yang sesuai? Kita perlu memastikan semua proses wajar dilaksanakan secara teratur supaya ahli dapat memastikan sebarang penjualan kepentingan itu dibuat demi manfaat mereka,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan KWSP meraih dividen sebanyak RM1.56 bilion daripada 10 syarikat yang telah membayar sebahagian besar dividen dalam portfolio pada separuh pertama 2019.

Angka itu merupakan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding RM1.49 bilion pada setahun lepas.

Antara syarikat-syarikat itu adalah DiGi.Com Bhd, Axiata Group Bhd, Public Bank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd. – BERNAMA

Tuan Ibrahim kecewa PAS dianggap tak sesuai di Sabah, Sarawak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker