Jadikan setiap saat sebagai pahala

Share

KEBAIKAN boleh dilatih menjadi tabiat. Ia tidak dapat dilakukan secara paksa, namun boleh dididik secara perlahan-lahan.

Mulakan dengan azam untuk menjadi orang yang baik. Selepas itu, Insya-Allah jalan kebaikan akan sentiasa terbentang di depan mata. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebaikan itu ialah elok budi pekerti. Dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau benci bahawa dilihat oleh manusia kepadanya.” – Riwayat Muslim

Berbuat baik bukanlah susah. Celik sahaja mata pada waktu pagi, kebaikan sudah bermula.


Pahatkan niat dalam diri bahawa hari ini harus lebih baik daripada semalam. Dengan itu, kita pasti akan berusaha untuk tidak mengulang kesilapan semalam. 

Tanya diri sendiri, anggota badan yang manakah yang paling banyak menyumbang kesilapan pada hari semalam? Jika lidah banyak memberi saham dosa, maka hari ini tukar saham dosa itu kepada saham pahala.

Daripada bergosip atau menyindir kelebihan orang lain, ada baiknya jika kita gunakan lidah itu untuk berzikir atau mengaji al-Quran.

Jika semalam tangan banyak menyumbang saham dosa, apa salahnya jika hari ini kita insaf dan tidak mahu mengulanginya lagi. Lebih baik menggunakan 1O jari yang sempurna ini untuk membuat kerja-kerja berfaedah.


Dengan tangan kita boleh bersedekah. Kita tidak memerlukan banyak harta untuk bersedekah.

Pesan Nabi, sedekah separuh buah kurma pun sudah cukup besar untuk dijadikan saham akhirat. Yang penting, kita melakukannya secara berpanjangan walaupun sedikit. 

Bagaimana pula dengan kaki? Semalam, ke mana sepasang kaki ini membawa kita? Apakah ke tempat berhibur atau bersukaria? Tanya pula pada diri, sudah berapa lama kita tidak melangkah masuk ke masjid atau surau di taman kita tinggal? Yang banyaknya masa dihabiskan di pusat membeli-belah sahaja. 


Sebenarnya, kebaikan ada di mana-mana dan kita boleh melakukannya asalkan kita mahu. Walaupun pada hakikatnya perbuatan kita itu kelihatan seperti memudahkan orang lain, sebenarnya balasan setiap kebaikan akan balik kepada diri kita tanpa kita sedari.


Jika kita sentiasa memudahkan urusan orang lain, urusan kita pula akan dipermudahkan Ilahi. Itulah balasan kebaikan yang kita rasai tanpa kita sedari.

Daripada Jabir r.a, Nabi pernah bersabda: “Setiap perbuatan ma’ruf adalah sedekah.” – Riwayat Bukhari


Kata ulama salaf, teruslah berbuat baik kerana kebaikan itulah yang akan menjagamu. Walaupun disia-siakan oleh orang yang kita beri kebaikan, Allah tidak akan pernah mensia-siakannya. Setiap diri kita ada malaikat yang mencatat amalan. Paling penting, kita ada Allah yang sentiasa memerhati dan tidak pernah lalai walau sesaat pun.

Maka, jika pada hari ini kebaikan kita tidak dibalas seperti sepatutnya, bersabar dan lapangkanlah dada. Insya-Allah, lambat laun kebaikan itu akan dibalas jua walaupun bentuknya tidak sama.


Ternyata, jika kebaikan kita kecil sekalipun akan tetap dibalas dengan besar oleh-Nya. Dan lagipun, kebaikan itulah yang menyelamatkan diri kita daripada marabahaya.

Oleh sebab itu percayalah, orang yang berbuat baik akan mendapat balasan dalam dua bentuk, iaitu kebaikan fizikal dan keselamatan diri.

Utusan

Leave a Reply