Harga minyak di Sarawak tidak wajar lebih RM2 seliter – Abdullah

HARGA minyak di Sarawak tidak sepatutnya melebihi RM2 seliter memandangkan ia adalah negeri pengeluar minyak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Abdullah Saidol menegaskan beliau tidak peduli walaupun Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar subsidi yang lebih besar jika harga minyak di Sarawak lebih rendah dari RM2 seliter.

“Ini kerana selama ini subsidi minyak negara datang dari sumber hasil minyak dan gas Sarawak.

“Kita di Sarawak sepatutnya lebih curiga dan jangan cepat teruja kerana orang yang mengumum program ini adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen yang sering mengelirukan tentang banyak perkara yang beliau janjikan untuk Sarawak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdullah mengulas mengenai harga minyak petrol RON95 kekal pada RM2.08 seliter untuk rakyat Sarawak meskipun skim subsidi petrol bersasar akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, RON95 ditetapkan pada harga sedia ada untuk setiap rakyat di Sarawak.

“Ini bermaksud semua pemilik kenderaan di Sarawak akan menikmati petrol bersubsidi seperti sekarang,” kata Chong.

Sementara itu, mengenai Program Subsidi Petrol, Abdullah berkata, beliau belum bersedia untuk mengulas secara terperinci kerana kurang jelas tentang struktur program tersebut dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

“Menurut Chong, harga minyak di Sarawak yang ditetapkan pada harga rm2.08 akan sentiasa lebih rendah dari Semenanjung.

“Jadi, bagaimana jika harga minyak di Semenanjung berada pada harga rm2.00, apakah secara automatik harga minyak di Sarawak, Sabah dan Labuan akan berubah ke harga yg lebih rendah?,” soal Abdullah.

Berhubung harapan tentang Belanjawan Negara yang akan dibentangkan pada 11 Oktober, beliau berkata ia bukan sahaja berpaksikan rakyat tetapi belanjawan itu seharusnya jujur dan ikhlas daripada Kerajaan Persekutuan untuk menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kebajikan rakyat.

“Bukan hanya berkiblatkan ke arah kesejahteraan rakyat tetapi juga satu struktur belanjawan yang jujur dan ikhlas.

“Belanjawan negara bukan hanya akan dikaji atau dinilai oleh masyarakat kita tetapi juga pelabur dan pengurus asing. Mereka perlu tahap ‘kesihatan’ ekonomi negara kita,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan tidak hanya bertangungjawab tampil dengan bajet yang meyakinkan untuk menyediakan pelbagai pembangunan di negara kita tetapi juga memperkenalkan Polisi Ekonomi Yang Boleh Dipercayai dan Boleh Dicapai yang menunjukkan fiskal kita diuruskan dengan baik.

“Demi kebaikan semua warganegara, jangan terlalu banyak gimik atau ‘lemak’ politik dalam pembentangan intipati belanjawan negara. Kedudukan ekonomi dan kebajikan rakyat mesti diutamakan,” tegasnya.

Mewakili warga pedalaman, perkara yang kita harapkan menjadi tumpuan belanjawan negara ialah pembangunan luar bandar, pendidikan dan kebajikan warga tani dan nelayan.

“Pertama ialah peruntukan pembangunan ke arah luar bandar seperti kemudahan klinik baru, balai bomba dan polis dan kemudahan lain yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Kedua, peruntukan untuk pendidikan di mana bukan hanya membaiki sekolah usang tetapi juga penyediaan kemudahan persekolahan yang lebih baik seperti makmal, kemudahan penginapan guru, asrama pelajar dan juga kemudahan sukan.

“Manakala seterusnya ialah peruntukan khas untuk nelayan dan petani,” katanya sambil menambah pelbagai bantuan kepada warga wani dan nelayan pelrlu disediakan kerana mereka berperanan penting dalam membekal sumber makanan kepada masyarakat.

“Penggantungan kepada makanan import akan merugikan negara dan oleh itu, Kerajaan Persekutuan mesti memperkenalkan polisi untuk menggalak penyertaan warga muda dalam sektor pertanian dan penangkapan hasil laut yang moden. – UB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker