Ada B40 miliki enam kereta – PM

Share


Kajian sistem subsidi petrol bersasar, Program Subsidi Petrol (PSP) mendapati sebahagian golongan berpendapatan rendah (B40) di negara ini memiliki enam buah kereta.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, golongan itu kemudiannya menikmati subsidi petrol yang diberikan kerajaan selama ini.

“Kita mendapati setelah dikaji ada orang di bawah B40 memiliki sehingga enam kereta dan dapat menikmati subsidi petrol.

“Sebab itu sekarang kita beri satu kereta sahaja kalau mereka daripada B40. Kita tak boleh bagi subsidi kepada orang kaya.

“Kita lihat subsidi lama, (mereka) yang guna Rolls-Royce dapat subsidi, tak akan kita nak sokong,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, tegas Dr. Mahathir, pelaksanaan PSP dirangka oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khusus untuk golongan B40 yang memiliki sebuah kenderaan di bawah 1,600cc.

“Ini bantuan tepat kepada mereka yang perlu bantuan, bukan orang ada Roll-Royce, ada dua tiga buah pun dapat subsidi daripada kerajaan,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan mendapat manfaat daripada PSP bermula 1 Januari tahun depan.

Jelas Saifuddin Nasution yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, PSP itu membabitkan kadar subsidi 30 ringgit sebulan bagi kereta dan 12 ringgit sebulan bagi motosikal. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *