Anwar akan ‘dibunuh’ jika tentang Dr M, kata Syed Husin

Share


Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan dihukum dengan dipaksa berundur jika beliau menentang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata pengasas parti itu Syed Husin Ali.

“Saya tahu sukar baginya kerana jika dia berbuat demikian, Mahathir akan segera membunuhnya secara politik,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan empat hari selepas Syed Husin menimbulkan persoalan sama ada Anwar, bersama pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, telah dikhianati oleh perdana menteri.

Syed Husin mendakwa ada plot untuk menuduh Anwar sebagai dalang utama di sebalik skandal video seks yang melibatkan menteri dari PKR, Azmin Ali.

“Kamu tahu, Mahathir mampu buat apa saja, apabila video itu keluar, dia segera mengatakan ini adalah langkah politik untuk menjatuhkan Azmin,” kata Syed Husin.

“Polis segera kata seseorang berada di belakang skandal video seks di mana beratus-ratus ribu telah dibelanjakan.

“Penangkapan bekas setiausaha politik Anwar (Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Julai), saya fikir mereka mahu mendapatkan pengakuan daripada beliau untuk membabitkan Anwar,” katanya.

“Sekiranya Anwar ditangkap dan disabitkan kesalahan sebagai individu di belakang video itu, tindakan akan diambil terhadapnya, maka akan jadi sangat sukar bagi Anwar untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

“Mahathir boleh kata, ‘Lihat, saya telah kata begitu banyak kali bahawa saya mahu memberi jawatan Perdana Menteri kepadanya, tetapi Anwar, seperti dirinya yang biasa, telah menghancurkan dirinya sendiri,” kata Syed Husin.

“Tetapi dia (Anwar) bersih, itulah sebabnya dia bertindak (dengan cara sedemikian). Politik rumit dan kotor.”

Syed Husin berkata kesimpulan itu dibuatnya sendiri dan bukan diberitahu untuk berbuat demikian oleh Anwar.

Walaupun bersikap ‘low profile’ sejak melepaskan jawatannya sebagai timbalan presiden pada 2010, Syed Husin masih menjadi ahli Biro Politik PKR dan menghadiri mesyuarat mingguan parti yang dipengerusikan oleh Anwar.

Beliau juga merupakan timbalan pengerusi Lembaga Penasihat PKR.

Syed Husin mendakwa tahu secara peribadi bahawa Anwar dan Lim telah bercakap dengan Mahathir selepas perdana menteri itu mula bertindak secara berbeza dengan apa yang dipersetujui oleh majlis presiden Pakatan Harapan (PH).

“Dari apa yang saya dimaklumkan, empat daripada mereka (Anwar, Muhyiddin, Lim dan Mahathir) tidak pernah menyuarakan rasa tidak puas hati dalam pertemuan itu,” katanya.

“Mungkin mereka tidak mahu melakukan apa-apa yang akan dianggap sebagai perpecahan dalam Harapan,” katanya.

Beliau menyeru kepada pemimpin PH untuk bersuara tegas dalam mesyuarat gabungan itu, dan menyuarakan secara terbuka jika perlu.

Syed Husin menambah senario yang sama berlaku dalam mesyuarat kabinet, di mana kebanyakan menteri tidak menyuarakan ketika Mahathir bertindak berbeza daripada apa yang dipersetujui.

“Di dalam Kabinet, ramai yang terhutang budi kepadanya (Mahathir). Hanya beberapa orang yang bercakap di dalam kabinet, selebihnya hanya diam.

“Saya tidak mengatakan semuanya (menteri bertindak seperti itu). Majoriti mereka tidak berani menaikkan suara mereka kerana ada banyak kepentingan,” katanya.

Syed Husin berkata sikap membisu pemimpin dan anggota kabinet PH akan menyebabkan Mahathir kembali kepada cara diktatornya yang lama.

“Saya rasa sudah tiba masanya mereka bangkit (dalam mesyuarat) dan juga di khalayak ramai, kerana Mahathir terus lakukan apa yang dia suka, walaupun dengan menentang keputusan majlis presiden,” katanya.

Walaupun menyatakan kekecewaan terhadap Anwar, Syed Husin masih percaya presiden PKR itu adalah calon terbaik untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

“Bolehkah kamu beritahu saya siapa lagi (boleh jadi perdana menteri)? Saya tidak nampak sesiapa, saya fikir dia adalah orang terbaik, dan sudah ada persetujuan di antara pelbagai pihak mengenai isu ini,” kata Syed Husin.

Bagaimanapun, Syed Husin menyatakan Anwar tidak perlu menyertai kabinet sekarang kerana beliau mungkin terikat dengan keputusan perdana menteri.

“Saya yakin sekarang tidak ada gunanya beliau sertai (kabinet). Apa kuasa seorang menteri (ketika berhadapan dengan perdana menteri)? Lebih baik di luar (kabinet) dan bersikap bebas,”katanya.

Walaupun mengakui PH telah melaksanakan beberapa janji yang digariskan dalam manifesto, beliau menegaskan gabungan itu boleh melakukan lebih banyak perkara.

“Masih ada masalah utama yang belum dapat diselesaikan. Keadaan ekonomi masih menjadi perhatian besar kepada rakyat.

“Walaupun kerajaan mempunyai kawalan dalam memerangi inflasi, orang ramai berpendapat usaha kerajaan tidak cukup untuk memperbaiki keadaan. Dan politik lebih banyak mengenai persepsi,” katanya.

Syed Husin juga mengkritik kerajaan PH kerana gagal menghapuskan beberapa undang-undang drakonian, walaupun telah berkuasa selama 16 bulan.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *