WKB2030 tidak lebih daripada ‘hipnotis’ Tun Mahathir



Sebaran :

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam adalah sama seperti Wawasan 2020 yang hanya cuba untuk terus menipu rakyat dengan penglihatan yang indah, kata Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai. 


Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah melancarkan pelbagai ‘wawasan’ seperti Wawasan 2020 oleh Tun Mahathir dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) namun kedua-dua visi ini berakhir dengan kegagalan tanpa idea dan nilai baru.

“Gerakan mengambil Singapura sebagai contoh yang melaksanakan sistem prestasi dan telah berjaya membangunkan sebuah pulau kecil tanpa sumber semula jadi ke arah negara berpendapatan tinggi di Asia.



“Sehubungan itu, Malaysia mesti membuang dasar berasaskan kaum untuk berjaya, jika tidak, saya boleh meramalkan bahawa sebelum 2030, kerajaan akan melancarkan visi baru lagi untuk menghipnotis rakyat yang kita ke arah negara maju,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, Tun Mahathir berkata rasuah dan salah guna kuasa adalah sebab utama pengagihan kekayaan di negara ini tidak dilaksanakan secara adil dan saksama namun Dominic menganggap ia adalah disebabkan kronisme, apa yang sepatutnya diberikan kepada bumiputera miskin sebenarnya telah disalahgunakan dan ‘dibocorkan’ kepada kroni sahaja.

“Tun Mahathir juga sering membandingkan jurang ekonomi antara bumiputera dan kaum Cina secara umum. Namun sebenarnya, jurang ekonomi dalam kalangan bumiputera semakin serius disebabkan kronisme.



“Oleh itu, saya bersetuju dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dasar pengukuhan perlu berasaskan keperluan dan bukan berasaskan kaum,” katanya.

Tambahnya, Tun Mahathir juga mengakui bahawa PH tidak menjangka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan telah membuat janji-janji dalam manifesto yang sukar untuk dilaksanakan.

“Ini telah membuktikan bahawa kerajaan PH adalah ‘pemerintah penipu’,” katanya. – UTUSAN ONLINE




Sebaran :


Leave a Reply