Salahkah orang Melayu bersatu selesaikan masalah sendiri? – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pihak yang mengkritik keputusan parti Islam itu menyertai Kongres Maruah Melayu sebagai Islamofobia.

Abdul Hadi berkata, ramai yang membidas Pas menyertai dua himpunan perpaduan bagi menyatukan orang Melayu, iaitu himpunan bersama UMNO dan himpunan bersama ilmuwan serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Salahkah orang Melayu bersatu bersama Islam bagi menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri?

“Tanya kepada diri mereka yang menentang atau tidak senang dengan usaha ini, sama ada terpalit dengan penyakit Islamofobia.

“Al-Quran adalah panduan kepada penganut Islam yang setia dan memberi petunjuk bahawa setiap rasul memulakan dakwah Islam dengan menyelamatkan kaum bangsanya dahulu,” tulisnya dalam catatan dalam laman Facebook miliknya semalam.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, alasan pertama mereka ialah semangat kebangsaan yang dikatakan bercanggah dengan Islam.

“Kedua, pihak yang menjadi penganjur dilihat berlaku pertembungan.

“Media PH (Pakatan Harapan) yang setia kepada agenda perjuangan pragmatik atau oportunis tanpa berselindung mendedahkan pandangan pihak bukan Islam yang tidak senang dengan himpunan tersebut demi mendapat sokongan bukan Islam dan mengaburi mata umat Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker