Naib Presiden PKR Selar Lateefa Koya!

CHANG LIH KANG dan LATHEEFA KOYA
CHANG LIH KANG dan LATHEEFA KOYA

Di dalam semangat Malaysia Baharu, semua pihak terutamanya pemimpin politik dan penjawat awam perlu bertanggungjawab membantu mengembalikan keyakinan umum kepada agensi penguatkuasaan negara terutamanya kepada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disamping melindungi integriti dan kebebasan mereka untuk menjalankan tanggungjawab dengan bebas dan adil.

harapan ini hanya akan menjadi sia-sia apabila pihak yang diamanahkan itu sendiri tidak menunjukkan tahap profesionalisme dan kesungguhan untuk mencapai matlamat semangat Malaysia Baharu itu.

Semalam ketika berucap di dalam sebuah forum – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyindir ahli-ahli politik yang tidak dinamakan kerana belum memahami maksud sebenar perlembagaan, memberikan ucapan berbunga-bunga tapi hanya berpura-pura berjanji untuk melakukan perubahan.

Saya ingin mengingatkan beliau bahawa tempoh beliau sebagai ahli politik telahpun berlalu sebaik meletakkan jawatan sebagai ahli PKR sehari selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau kini adalah seorang penjawat awam yang seharusnya memegang teguh prinsip untuk tidak berpihak ataupun mempunyai kecenderungan kepada mana-mana parti politik apatah lagi kepada ahli politik tertentu.

Sikap sindir-menyindir ahli politik tertentu hanya mengundang rasa syak wasangka dan menimbulkan kebimbangan awam terhadap tahap profesionalisme beliau sebagai seorang penjawat awam yang mempunyai kedudukan penting dalam memartabatkan kembali kepercayaan rakyat kepada sistem undang-undang dan perlembagaan negara.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya amalan tidak profesionalisme yang mencemarkan nama baik SPRM. Majlis Peguam dan NGO-NGO yang selama ini memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan harus memandang serius tentang kenyataan berbaur politik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap SPRM.

Saya menyeru agar Ketua Pesuruhjaya SPRM bersikap matang dalam menjalankan tugas dan hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada hal-hal yang berkaitan dengan tugas dan profesion beliau sahaja.

CHANG LIH KANG

Ahli Parlimen Tanjong Malim

Naib Presiden PKR

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker