Kampung Bharu: Antara Warisan & Kerakusan Kerajaan PH/DAP

Baru-baru ini saya meneliti helaian akhbar mengenai hasrat YB Menteri Wilayah, Khalid Samad yang mahu mencari jalan untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membeli tanah-tanah sedia ada di Kampung Baru bagi tujuan penempatan Melayu di Kuala Lumpur.

Hujah beliau ialah untuk mengelakkan pembangunan berleluasa apabila pemilik tanah menjualnya kepada pemaju secara langsung kelak dan mengelakkan pemaju menjual hartanah Kampung Baru kepada bukan Melayu.

Saya tiada masalah dengan perkara tersebut. Bagi saya, itu salah satu langkah murni pihak Kerajaan untuk mengekalkan kawasan tersebut sebagai tanah rizab Melayu.

Kampung Baru yang kini berusia hampir 120 tahun sejak pembukaannya pada 1899 itu pada awalnya telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai The Malay Agriculture Settlement bagi membenarkan orang Melayu membuka penempatan dan mengamalkan gaya hidup kampung – kini menjadi simbol warisan masyarakat Melayu di tengah-tengah segi tiga emas kota metropolitan Kuala Lumpur.

Agenda untuk membangunkan semula Kampung Baru ini bukanlah sesuatu yang baru malah telahpun dimulakan pada zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi sebelum ini. Untuk mendakwa Kerajaan BN tidak melakukan apa-apa, saya fikir itu adalah penempelakkan yang tidak adil. Jika tidak, masakan wujud Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) pasca penggubalan Akta Perbadanan Kampung Baru 2011 atau Akta 733 yang bertujuan untuk menyelaras aktiviti pembangunan di sekitar kawasan tersebut.

Malah pada 2015, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan komitmen Kerajaan BN untuk membangunkan Kampung Baru dengan cadangan pembinaan Pusat Bandar Kampung Baru (KBCC) sebagai ‘core centre’ Kampung Baru, pembinaan Saloma Link, iaitu laluan yang menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC, pembangunan tiga kampung warisan serta mewujudkan stesen MRT yang bertujuan untuk memakmurkan kawasan berkenaan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 2017 juga dengan nada ketegasan telah menyatakan usaha membangunkan Kampung Baru mestilah tanpa mengabaikan nilai-nilai kemelayuan dan keislaman yang terzahir sepanjang garis masa kewujudan Kampung Baru itu.

Namun hakikatnya, apa yang dirancang tidak semudah untuk dilaksanakan.

Pelbagai kekangan yang melanda seperti isu satu lot tanah yang kecil dimiliki oleh lebih dari sepuluh penama dan juga tuntutan harga yang tidak munasabah oleh pemilik atau waris telah membantutkan usaha pembangunan sebelum ini. Kekangan ini seterusnya dikeruhkan lagi oleh tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang ketika itu yang menuduh usaha tersebut adalah sebahagian dari agenda tersembunyi UMNO dan BN untuk menguasai tanah penduduk Kampung Baru.

Masa berlalu silih berganti, apa yang direncanakan oleh Kerajaan BN terdahulu, kini cuba diteruskan oleh Kerajaan PH. Hujah yang sama tetap digunakan oleh Kerajaan PH untuk menjustifikasikan asbab mereka untuk mendapatkan tanah milik penduduk di Kampung Baru berserta dengan alasan ini merupakan ‘KPI’ peribadi YB Menteri berkenaan sepanjang tempoh menjawat jawatannya. Ini menimbulkan pertanyaan dalam diri saya – apakah agenda YB Menteri yang sebenarnya ialah untuk membantu rakyat atau mengangkat dirinya sendiri? Bunyinya seakan mengisyaratkan sesuatu yang menarik bukan?

Sejujurnya, saya tidak menolak rasional yang diberikan oleh beliau supaya pembangunan kawasan segi tiga emas itu dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tetapi pada pengamatan saya ianya telah mencerminkan satu lagi kelemahan Kerajaan PH sekiranya sejumlah dana diluluskan tanpa perancangan terperinci dengan mengambil kira ciri-ciri Kampung Baru yang padat dengan sejarah, legasi dan identiti tradisional masyarakat Melayunya.

Saya berpendapat walaupun penempatan masyarakat Melayu yang lebih baik diperlukan, namun apakah perancangan Kerajaan PH adalah hanya untuk mengambil alih Kampung Baru pada harga pampasan tidak berselaras dengan nilai tanah semasa, dan kemudian dipecahkan untuk dibangunkan bersama dengan pemaju persendirian?

Nilai 10 bilion sebagai nilai pertukaran tanah seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri juga perlu diperjelas oleh Kerajaan memandangkan ketidakjelasan anggaran nilai itu dibuat berlandaskan faktor apa yang dibuat.

Ironinya, langkah Kerajaan ini telah membangkitkan kegusaran terbesar saya iaitu apakah ini masa yang sesuai untuk Kerajaan PH membeli tanah Kampung Baru ini di dalam senario semasa yang memperlihat Kerajaan PH sendiri sibuk melaungkan ekonomi negara di tahap yang kronik dengan drama hutang 1 trillion dan sebagainya.

Apakah ini waktu yang terbaik untuk Kerajaan PH memiliki tanah milik orang Melayu di saat rakyat menderita kos sara hidup meningkat, segala jenis bantuan dan subsidi seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dikurangkan, peruntukan untuk pembangunan infrastruktur dipotong dan pelbagai lagi.

Saya masih tidak pasti mengapa YB Menteri memilih sekarang sebagai detik untuk melaksanakan usaha ini dan saya juga masih tertanya-tanya mustahak sangatkah usaha ini dilakukan sekarang? Pihak Kementerian Wilayah sepatutnya memikirkan alternatif lain yang boleh dilakukan bagi membantu penduduk di Kampung Baru secara khusus dalam tempoh tertentu sehingga Kerajaan benar-benar memiliki kemampuan kewangan yang kukuh untuk berbuat demikian.

YB Menteri juga seharusnya menjelaskan secara terperinci mengenai kaji selidik Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru dan Kongres Pembangunan Kampung Baru terlebih dahulu dan mendedahkan secara terbuka siapa 80% pewaris dan pemilik tanah yang telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan tersebut agar berselaras dengan agenda ketelusan dan integriti yang dilaungkan sendiri oleh PH.

Hatta apa pun yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan di Kampung Baru kelak, biarlah ianya masih melingkungi pemeliharaan identiti masyarakat Melayu itu. Usah dirakuskan segalanya atas nama kemodenan yang hanya akan memusnahkan warisan masyarakat Melayu yang terbina sejak lebih 100 tahun lamanya. Pada saatnya kita mempunyai wang dan harta, apa pula yang tinggal untuk tatapan sejarah anak bangsa? Mari sama-sama kita renungkan. Hidup Kampung Baru! Selamatkan Kampung Baru!

DATUK SERI TI LIAN KER
Naib Presiden MCA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker