Dr Maza rasa ucapan Dr M kurang perisa

Biarpun menyifatkan Kongres Maruah Melayu berjaya dalam menghimpunkan orang Melayu dari pelbagai latar, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ucapan yang disampaikan oleh Dr Mahathir Mohamad “kurang berperisa”.

Sedangkan, katanya, ramai peserta kongres yang mahukan mesej lebih jelas daripada perdana menteri itu.

“Walaupun ucapan Dr Mahathir tadi, saya rasa kurang ‘perisa’, namun ada kandungan meminta semua Melayu bersatu dan mengetepikan perbezaan parti politik.

“Impian ramai tadi ialah mesej Dr Mahathir mesti lebih jelas.

“Apapun, kongres tadi telah berjaya menghimpunkan orang Melayu dari pelbagai latar dan mengenepikan perbezaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Asri merupakan salah seorang tokoh yang hadir pada kongres yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Dalam hantaran sama, beliau turut mengepil gambarnya yang memegang dan mengangkat tangan antaranya bersama-sama Dr Mahathir, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Tambah Mohd Asri, apa yang diharapkannya ialah isyarat yang jelas bahawa umat Islam dalam negara ini hendaklah bersatu menghadapi ancaman masa depan.

Meskipun begitu, dia melihat resolusi yang dikemukakan dalam kongres tadi jelas menuntut hak dan identiti Islam bagi negara ini, dan mendesak Melayu-Muslim untuk bersatu demi Islam.

“Kita menyeru agar bersatulah wahai umat ini dalam menghadapi ancaman terhadap jasadmu!” katanya lagi.

Kongres Maruah Melayu berjaya menghimpunkan lebih 5,000 peserta yang hadir di Stadium Malawati Shah Alam.

Acara utama kongres tersebut ialah amanat yang disampaikan oleh Dr Mahathir yang antara lain membangkitkan isu perpecahan orang Melayu yang terbahagi kepada enam kumpulan, menyebabkan tiada yang mampu menarik sokongan Melayu lebih 50 peratus.

Dr Mahathir turut mengakui elemen kemelayuan kerajaan PH yang diterajuinya kini tidak sekuat kerajaan yang dipimpin oleh BN sebelum ini.

Ketua Penerangan Umno Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika mengulas amanat tersebut, berkata, bahawa perpecahan Melayu dan tiadanya kekuatan kemelayuan, kedua-duanya sebenarnya berpunca daripadanya Dr Mahathir sendiri.

“Dari parti Umno lahir Semangat 46, timbul PKR, dan wujud Bersatu. Bukankah semua parti ini wujud kerana Dr Mahathir? Justeru parti Umno berpecah kerana siapa ?

“Hari ini Dr Mahathir kata kerajaan PH tiada kekuatan kemelayuannya. Ini juga salah siapa ? Bukankah Dr Mahathir juga yang meruntuhkan kuasa Umno-BN yang kuat Melayunya kerana dendam kesumat menebal dalam diri Dr Mahathir?

“Kemudian memenangkan DAP yang benci Melayu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata Shamsul, Dr Mahathir tidak harus berterusan menyalahkan Melayu bersikap malas dan tidak mahu merebut peluang, kerana ia juga disebabkan kelemahan Dr Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri dahulu.

“Kongres Maruah Melayu ini, terus tinggal kongres. Tiada sesuatu yang dapat mengubah keadaan jika Dr Mahathir terus amalkan sikap yang rugikan orang Melayu dan bumiputra,” katanya lagi.

Mkini

Related Articles

One Comment

  1. Apa sebenarnya yg dimahukan oleh maza….lain mcm betul bunyinya sejak akhir2 ni….nak jd menteri ka?

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker