Sukar tentu tarikh peralihan kuasa – Mahathir

Share

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sukar untuk menetapkan tarikh sebenar peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, proses peralihan kuasa yang akan dibuat juga perlu mengkaji situasi atau keadaan.

“Kita perlu kaji situasi. Sekiranya kerja itu tidak dilaksanakan sepenuhnya atau belum dibuat, susahlah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Kementerian Dalam Negeri hari ini.


Beliau diminta mengulas gesaan pihak tertentu supaya disegerakan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali baru-baru ini mendesak peralihan kuasa pentadbiran negara dilakukan segera.

Syed Husin mendakwa, hasrat Dr. Mahathir untuk berundur daripada jawatan Perdana Menteri sekurang-kurangnya tiga tahun lagi akan ‘membunuh’ Pakatan Harapan kerana Anwar tidak mempunyai masa mencukupi untuk berkempen dan mengatur rancangan.


Ketika sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, minggu lalu, Dr. Mahathir menyatakan beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dr. Mahathir sebelum ini juga pernah menyatakan bahawa beliau akan berundur selepas dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply