#PrkTgPiai : Kenapa 18 tahun boleh bertanding tak boleh mengundi – Nicole

Share

MCA: Kenapa 18 tahun boleh bertanding tak boleh mengundi?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjelaskan mengapa calon berumur 18 tahun boleh bertanding pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai tetapi rakan seusia seusia mereka tidak dibenarkan mengundi.

Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata demikian berikutan pindaan undang-undang berkaitan telah diwartakan pada 10 Sept lalu.


“SPR perlu memberi penerangan yang jelas mengenai percanggahan ini yang mana golongan muda pasti tidak sabar untuk melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

“Adakah ini disebabkan masalah teknikal? Atau isu kecekapan? Saya percaya ramai orang muda ingin tahu jawapannya.

“Jika pengerusi SPR Azhar Azizan Harun gagal menjelaskan situasi ini sewajarnya, ia akan menjadi satu langkah yang agak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau merujuk kepada pindaan Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun, dan membolehkan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.

Semakan di laman web pejabat peguam negara mendapati pindaan itu telah diluluskan kerajaan pada 4 September dan telah diwartakan pada 10 Sept.

Bagaimanapun, Azhar berkata golongan muda berumur 18 tahun masih tidak boleh mengundi walaupun mereka boleh bertanding sebagai calon pilihan raya jika pegawai pengurus SPR membenarkannya.


“Penurunan had umur mengundi dari 21 tahun hingga 18 tahun belum dikuatkuasakan.

“Ia akan dikuatkuasakan apabila diputuskan dan diwartakan pada masa akan datang,” katanya ketika mengumumkan tarikh PRK Tanjung Piai.

Mkini

Leave a Reply