Pesuruhjaya Pas Perlis stabil

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli yang rebah ketika berucap pada ceramah muafakat Pas-UMNO di Dewan 2020 di sini, malam tadi dilaporkan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Russele Eizan berkata, Mohd. Shukri sudah memberi reaksi dan telah menjalani pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh rakyat agar sama-sama berdoa agar Mohd. Shukri sembuh dan menjalankan tugas seperti biasa.

“Beliau (Mohd. Shukri) sebelum ini tidak mengalami apa-apa penyakit termasuk jantung. Mungkin dia kepenatan selepas menghadiri pelbagai aktiviti sepanjang hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Mohd. Shukri sebagai penceramah pertama ketika itu sedang memberi kata-kata aluan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas sebelum secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu telah diberi bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawanya ke HTF.

Ceramah tersebut turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan lebih 2,000 orang penyokong kedua-dua parti itu.

Dalam pada itu, kepemimpinan Pas dan UMNO negeri serta ratusan penyokong termasuk wakil rakyat PKR dilihat hadir ke HTF untuk mengetahui perkembangan Mohd. Shukri.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker