Kalaulah pahala dibayar tunai

TIADA seinci pun ruang kosong di masjid. Setiap rumah ibadah sentiasa penuh dengan jemaah yang datang untuk beriktikaf dari siang ke malam. Begitu juga, tiada golongan fakir dan miskin, jauh sekali kejadian jenayah berlaku di dunia ini.

Itulah gambaran kasar jika membayangkan ganjaran pahala dikurniakan oleh Allah secara tunai kepada individu yang melakukan kebaikan dan amal soleh.

Asasnya, ini kerana Allah SWT menjanjikan pelbagai ganjaran berlipat ganda bagi orang yang melakukan kebaikan antara seperti dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah : 261)

Dalam kiraan mudah, dengan hanya mengeluarkan sedekah RM10, kita akan memperoleh sebanyak RM7,000 sebagai ganjaran. Begitulah seterusnya bagi setiap sedekah dihulurkan akan digandakan sebanyak 700 ganjaran daripada Allah. Siapa yang tidak mahu?

Namun itu hanya gambaran. Realitinya tidak, sebaliknya apa yang berlaku, masjid tersergam indah tetapi hanya untuk perhiasan, bilangan fakir miskin semakin bertambah saban tahun, pelbagai gejala keruntuhan akhlak, rasuah dan maksiat terus berleluasa setiap hari.

Ini semua tidak lain tidak bukan kerana sifat kecintaan manusia terhadap kesenangan dan kemewahan dunia sehingga meletakkan urusan akhirat sebagai pilihan terakhir. Ini kerana mereka memandang remeh urusan akhirat yang dianggap tidak mendatangkan apa-apa keuntungan zahir.

Hakikatnya, segalanya sudah menjadi perancangan-Nya. Allah sengaja menyembunyikan dan menangguh pahala umat Islam bagi menguji keimanan dan ketakwaan umat Islam dalam masa sama melihat keikhlasan setiap manusia beribadah kerana Allah.

Menurut pendapat seorang ulama, jika pahala diberikan Allah dalam wujud material, pasti dunia tidak mampu menampung seluruh pahala umat Islam. Ini kerana dunia terlalu kecil dan sempit untuk menampung semua ganjaran tersebut. Ini mengapa ganjaran pahala ditangguhkan pada hari akhirat yang tiada batasan keluasannya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker