Dr M tidak patut serah kuasa kepada Anwar ketika PKR berpecah, kata pemimpin PPBM

Share

Seorang pemimpin PPBM berkata, Dr Mahathir Mohamad tidak patut menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim ketika PKR di bawah pimpinannya dalam perpecahan.

Timbalan Pengerusi PPBM Kelantan, Sazmi Miah merujuk kenyataan veteran PKR, Syed Husin Ali yang menyifatkan Mahathir tidak boleh dipercayai kerana berkata mungkin tiga tahun lagi sebelum beliau menyerahkan kuasanya kepada calon lain.

“Dengan perpecahan dalaman yang ketara dalam PKR sekarang, memang tidak wajar jawatan perdana menteri diberikan kepada Anwar, ini diketahui umum, bukan sekadar khabar angin,” kata Sazmi kepada FMT.

“Sebagai pemimpin dan negarawan ulung, semestinya Mahathir mengambil kira pelbagai aspek dan situasi semasa, ini bukan calang-calang jawatan, bukan nak melantik penghulu atau penggawa kampung, ianya perlu dibuat dengan penuh kebijaksanaan.”

Sebelum ini, beberapa ketua negeri dan bahagian PKR menyuarakan sokongan kepada Anwar selepas beliau dilaporkan menggesa Timbalan Presidennya, Azmin Ali melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar sejak awal Jun lalu.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90% atau 197 daripada 219 ketua bahagian PKR di seluruh negara menyokong kepimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Amin mendakwa semua ketua bahagian itu sudah dihubungi dan tanda tangan serta pengesahan mereka diperolehi berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.

Pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dakwaan itu dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sazmi berkata, pemimpin PKR yang mahu Anwar menjadi perdana menteri sepatutnya menunggu sehingga dua tahun, bukannya melabelkan Mahathir sebagai individu tidak boleh dipercayai.

“Mereka agak gelisah, sememangnya menunjukkan mereka kurang sabar dan seperti takut kepada bayang-bayang sendiri, belum pun tiba tarikh sebenar yang mereka war-warkan kononnya dua tahun (untuk serah jawatan) tapi sekarang sudah beria menuntut janji.

“Jadi, untuk melabel (Mahathir tidak boleh dipercayai) itu kenalah sampai masa baru boleh cakap.”

Sazmi juga bimbang sikap “celupar” sesetengah pemimpin PKR mendesak Mahathir menyerahkan jawatan kuasa kepada presiden PKR itu akan menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan.

“Dengan melabelkan perdana menteri tidak boleh dipercayai dan tidak boleh pegang janji, ia satu tuduhan yang serius, tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin parti, apatah lagi seseorang yang berkaliber seperti Syed Husin.

“Sudah tentu ia akan mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati rakan-rakan dalam PPBM, ianya umpama kita beri pandangan Anwar tidak layak dilantik perdana menteri kerana beliau adalah bekas banduan, tetapi kita tidaklah sampai tahap nak kata begitu.”

Beliau yakin Mahathir akan membuat keputusan apabila sampai masanya dan PPBM Kelantan menyokong penuh pengerusinya terus mentadbir negara sehingga pilihan raya umum ke-15.

Mahathir yang dilantik semula sebagai perdana menteri selepas PH menang PRU14 pada Mei tahun lepas, menegaskan akan berundur selepas kira-kira dua tahun berkuasa.

Di bawah perjanjian antara pemimpin PH, Mahathir perlu menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi tiada tarikh ditetapkan.

Mahathir berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji berundur apabila negara kembali pulih dan stabil.

Terbaru, Mahathir pada 27 September lalu dilaporkan berkata, beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri sebelum PRU15.

FMT

(Visited 18 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!