Terbukti sabda Nabi, Islam kian terasing

BUKAN sahaja berjanggut dan bertudung, malah melaksanakan solat lima waktu secara konsisten juga dilihat janggal di sesetengah tempat,” kata pendakwah antarabangsa, Bilal Assad.

Memetik kenyataannya dalam ceramah disampaikan menerusi saluran Youtube, Aktivis Kesatuan Islam Victoria, Australia itu berkata, itulah kemelut melanda umat Islam masa kini untuk melaksanakan segala tuntutan syariat yang semakin dipandang asing oleh masyarakat dunia sehingga dikatakan sebagai ajaran baharu.

Perkara itu tambahnya, terbukti sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti semula, maka beruntunglah orang yang terasing.” – Riwayat Muslim

Permasalahan itu berlaku bukan hanya disebabkan pengaruh golongan musuh Islam yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam, tetapi malangnya akibat kemelut dalaman umat Islam sendiri.

“Sebagaimana tercatat dalam sejarah, Rasulullah menyebarkan Islam kepada masyarakat pada masa itu dalam keadaan terasing. Asing bukan bermakna melakukan kesalahan tetapi tidak dikenali orang lain, tidak mengetahui budaya dan tradisi diamalkan.

“Jika kita perhatian, hal sama berlaku pada hari ini. Malah ia lebih buruk, Islam bukan sahaja kelihatan asing bagi golongan bukan Islam tetapi lebih menyedihkan juga dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri, masing-masing mempertikaikan amalan dilaksanakan antara satu sama lain sehingga menyalahkan umat Islam sendiri. Keadaan ini adalah lebih asing berbanding pada awal penyebaran Islam dahulu,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Assad berkata, pernah bertemu dengan seorang Muslim dari Palestin yang berhijrah ke Australia ketika menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan.

“Ada beberapa perbuatan atau amalan yang dilakukan oleh imam tidak diikuti oleh individu ini. Apabila ditanya maka dia berkata ‘aku tidak pernah mengetahui amalan apa yang dilakukan ini, ia kelihatan aneh’.

“Inilah yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah Islam akan kembali terasing. Dan perkara perlu kita sedari adalah, hal ini menunjukkan dunia ini sudah hampir di penghujung (kiamat),” katanya.
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker