#PrkTgPiai : PAS akan buktikan di Tanjung Piai, kata Hj. Hadi

Menjangkakan tugas merampas kerusi Tanjung Piai daripada PH bukan sukar, PAS hari ini sekali lagi menyatakan kesediaan mereka menyokong siapa saja calon yang akan diturunkan BN, termasuk dari MCA.

Ditanya wartawan jika PAS akan tetap memberikan sokongan jika BN memutuskan calon bagi kerusi itu ialah dari MCA, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjawab: “Ya.”

Malah Abdul Hadi menambah, PAS akan membuktikan kesungguhan parti itu bekerjasama dengan Umno dalam PRK itu nanti

“Ya, kita akan buktikan kerjasama (dengan Umno),” katanya pada sidang media di Rusila, Marang pagi tadi.

Petikan sidang media itu dipaparkan di Facebook Abdul Hadi tidak lama kemudian.

PAS menjalin kerjasama secara rasmi dengan Umno melalui piagam Muafakat Nasional pada 14 Sept lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Hal itu berlaku ketika pemimpin PAS berkeras menafikan mereka akan bergabung atau bekerjasama dengan Umno beberapa tahun sebelumnya.

PAS akan turun

Perkembangan itu menyaksikan PAS disindir secara agresif oleh penyokong PH di media sosial dengan kebanyakannya meninggalkan komen pedas pada hantaran pemimpin-pemimpin kanan parti itu yang menafikan hal tersebut seawal 2015.

Untuk rekod MCA pernah beberapa kali menegaskan bantahan mereka kepada usaha PAS memperkenalkan undang-undang Islam atau hudud.

Untuk rekod pada pernyataan piagam Muafakat Nasinal dengan Umno itu PAS tidak menyentuh langsung isu hudud.

Abdul Hadi berkata PAS menyerahkan kepada Umno dan “rakan BN” bagi menentukan calon yang sesuai mencabar PH di Tanjung Piai.

“Itu kita serah kepada Umno dan rakan BN untuk menentukan calon.

“Terpulang kepada mereka kerana kawasan itu kawasan yang mereka bertanding, dan Insya-Allah kita akan turun. Siapa saja yang mereka letak calon,” katanya.

Pada PRU14 lalu, tiga calon diletakkan di kawasan tradisi MCA berkenaan.

Mewakili BN ialah penyandang, Wee Jeck Seng, manakala PH diwakili muka baru, Dr Mohd Farid Md Rafik. PAS juga tidak ketinggalan meletakkan calon di situ.

Keputusan menyaksikan Mohd Farid membuat kejutan dengan mengalahkan Wee, manakala calon PAS gagal mendapat undi yang signifikan.

Ditanya sama ada PRK Tanjung Piai merupakan ujian yang berat untuk PAS dan Umno selepas termeterainya Muafakat Nasional, Abdul Hadi berkata, beliau tidak melihatnya sebegitu.

“Saya rasa tidak berat kerana PH menang majoriti tipis.

“Insya-Allah dengan berlakunya perkembangan politik yang terkini, peluang baik kepada kita – insya-Allah – berbanding PH,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker