Dalam satu dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York semalam, Perdana Menteri berkata, beliau mungkin ada tiga tahun paling lama untuk berbuat demikian.

Dr. Mahathir yang kembali dilantik ke jawatan itu pada Mei Tahun lalu selepas memenangi PRU-14 menegaskan, beliau akan berundur selepas kira-kira dua tahun memerintah negara.


Di bawah perjanjian antara pemimpin Pakatan Harapan (PH), Mahathir perlu menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi tiada tarikh ditetapkan.

Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PH itu berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji berundur apabila negara kembali pulih dan stabil.

Awal bulan ini, Anwar memberitahu Bloomberg Television, beliau menjangkakan akan menggantikan Dr. Mahathir menjelang tahun depan.


Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pasti jika penggantinya boleh melakukan dengan baik dan mengungkit kekecewaan terhadap penggantinya ketika berundur pada 2003.

“Saya tidak boleh menjamin orang yang menggantikan saya akan melakukan dengan baik, atau mungkin tidak terlalu baik.

“Saya tidak boleh jamin, tetapi kita boleh melaksanakan jentera yang betul. Jika anda bekerja mengikut sistem itu, saya fikir kita boleh mencapai matlamat status negara maju menjelang 2030,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE