Zuraida dirujuk ke Lembaga Disiplin PKR

Aduan rasmi terhadap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin lain kerana melanggar peraturan parti telah dihantar ke Lembaga Disiplin PKR.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, aduan terhadap Zuraida kerana dengan sengaja tidak menghadiri mesyuarat parti telah dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim menerusi emel dan ke kediamannya, Selasa lalu.

“Saya minta tindakan disiplin diambil kerana dia (Zuraida) didakwa melanggar peraturan majlis tertinggi parti. Dia kena jawab.

“Ada beberapa nama lagi yang saya turut namakan, bagaimanapun saya tidak boleh bocorkan siapakah pemimpin lain yang saya maksudkan kerana bimbang akan menggugat kerahsiaan pentadbiran parti,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today, hari ini.

Abdullah Sani sebelum ini dilaporkan mahu merujuk Zuraida ke Lembaga Disiplin PKR kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti apabila sengaja tidak menghadiri mesyuarat.

Ahli Parlimen Kapar itu menegaskan tindakan disiplin perlu diambil terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu serta beberapa pemimpin lain kerana dikatakan menjejaskan imej parti.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan Zuraida dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik parti, minggu lalu.

Ahad lalu, Zuraida turut bertegas mahu bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menghadiri semula mesyuarat Biro Politik mingguan dan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu setiap bulan.

Fasal 41.3 Perlembagaan PKR menyatakan lembaga disiplin boleh memulakan siasatan terhadap salah laku disiplin mana-mana anggota parti tanpa perlu aduan daripada mana-mana pihak. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker