Rakyat Mahu Keadilan Untuk Adib, Peguam Negara Dianggap Halang Keadilan – Ismail Sabri

Esok kes inkues anggota bomba yang maut ketika bertugas, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim akan diputuskan oleh mahkamah dan rakyat mahu kematiannya mendapat pembelaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini bukan saja boleh dianggap sebagai cuba mengganggu perjalanan mahkamah malah juga boleh dianggap sebagai menghalang keadilan yang cuba ditegakkan melalui undang-undang.

“Rakyat menunggu keputusan ini sama ada Adib meninggal dunia akibat dipukul atau sebaliknya. Kita amat berharap agar mahkamah membuat keputusan dengan adil tanpa dipengaruhi oleh tindakan-tindakan Peguam Negara atau mana-mana pihak sekalipun.”

Ini kerana katanya, rakyat mahu keadilan ditegakkan dan kematian Adib mendapat pembelaan sewajarnya oleh sistem perundangan negara ini.

“Peguam Negara bukan sahaja individu malah sebagai institusi yang berperanan menegakkan kedaulatan undang-undang di Malaysia namun Peguam Negara bertindak sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ujarnya sebenarnya Peguam Negara yang telah mengarahkan satu inkues diadakan berdasarkan Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi mengenal pasti punca kecederaan Adib dan juga punca kematian Adib walaupun pihak polis sebelumnya telah menjalankan siasatan, membuat tangkapan di bawah kanun keseksaan untuk cubaan membunuh, malah Timbalan Ketua Polis Selangor setelah Adib meninggal, telah membuat kenyataan bahawa kes ini akan dipinda dan disiasat di bawah kes membunuh.

“Namun Peguam Negara telah mengarahkan inkues walaupun polis telah menjalankan siasatan. Walaupun tidak salah dari segi undang-undang namun rakyat hairan kepada tindakan tersebut seolah wujud sesuatu yang luar biasa. Rakyat mula sangsi kepada sikap berkecuali Peguam Negara di dalam kes Adib ini.

“Sikap Peguam Negara lebih terserlah apabila perbincangan inkues berjalan di Mahkamah Koroner Shah Alam. Ini jelas apabila mengeluarkan arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menamatkan khidmat Peguam Shazlin Mansor yang mewakili KPKT, JBPM dan keluarga Adib dengan alasan terdapat konflik kepentingan (conflict of interest).

“Alasan ini sangat diragui kerana sejak hari pertama Puan Shazlin Mansor mewakili keluarga mereka di mahkamah tidak ada sebarang bantahan daripada Peguam Negara. Hanya setelah lebih 4 bulan dan saksi ke-29 memberi keterangan barulah isu conflict of interest ini ditimbulkan.”

Terang beliau, sebenarnya, isu ini timbul apabila Puan Shazlin Mansor dilihat mempunyai pendirian yang berbeza dengan Peguam Negara di dalam pengendalian kes terutamanya pendirian mengenai punca kematian Adib.

“Pendirian Peguam Negara menjadi lebih jelas apabila pihak Peguam Negara telah mengikrarkan di dalam affidavit bertarikh 3 April 2019 melalui Tuan Hamdan Bin Hamzah iaitu Mantan Ketua Pegawai Pengendali Inkues berkenaan bahawa ‘kecederaan yang dialami oleh si mati yang membawa kepada kematian si mati apabila dilihat secara keseluruhan, bukanlah kecederaan akibat dipukul’.

“Maka adalah jelas bahawa Peguam Negara telah membuat pendirian sendiri tentang punca kematian Adib sejak dari mula lagi seperti menolak hasil siasatan polis, menyingkirkan Puan Shazlin Mansor yang dilihat berpotensi menghalang tindakan beliau malah cuba mempengaruhi mahkamah untuk membuat keputusan dengan mengikrar di dalam affidavit tentang punca kematian tersebut.

“Sebelum Mahkamah Koroner membuat keputusan, punca kematian masih dianggap ‘unknown’. Hanya setelah mendengar semua saksi, barulah mahkamah akan membuat keputusan. Maka tindakan Peguam Negara membuat pendirian dan keputusan pra matang dengan mendahului mahkamah adalah satu tindakan yang boleh dianggap sebagai subjudice malah menghina mahkamah,” tegas beliau lagi yang juga Naib Presiden UMNO. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker