‘M for Mabuk’

Share


Faisal Tehrani

Beginilah, seorang panglima yang muda, telah berangkat ke medan perang. Dua tiga kali panglima muda ini menyusun angkatan dan ketumbukan demi menewaskan musuh yang amat agam. Panglima itu tewas. Dua tiga kali itu, ia tumpas. Ia terpancut awal.

Bahkan ketumbukan yang diketuainya bukan sahaja kucar, tetapi ikut kacir. Beberapa sekutunya malah berpaling tadah. Panglima muda malah sempat ditangkap dan hidup beberapa lama dalam kurungan. Kasihan.

Isteri panglima muda, secara klise, akhirnya memerlukan seorang panglima tua. Yang asalnya, panglima tua itu berada dalam pasukan musuh.

Bersama-sama panglima tua, mereka berusaha menyusun semula pasukan dan bersiap untuk luka parah. Mungkin mati dalam pertempuran. Tetapi biar mati mencuba.

Panglima tua sanggup bersama-sama isteri panglima muda dan kawan-kawannya yang nampak “bodoh-bodoh perasan pandai” itu kerana musuh makin jahanam.

Musuh itu berbibir merah, tetapi jahanam. Dan bila ia jahanam, ia ikut menjahanamkan negeri dan kawan-kawan pemodal panglima tua ikut mendapat tempias jahanam.

Panglima tua tidak lagi larat mendengar keluhan jahanam semua orang.

Dan salah satu janji panglima tua ialah untuk membebaskan panglima muda dari kurungan; dan kerana dirinya sudah renta, panglima tua juga berjanji untuk menyerahkan piala (sekiranya berjaya) kepada panglima muda.

Apa isi piala itu?

Ia adalah sebuah pertempuran yang besar. Ia adalah sebuah pertempuran berskala luar biasa. Panglima tua yang sudah biasa berperang perlu mengasah semula pedangnya. Ia tidaklah mudah ketika pasukannya ketiadaan senjata dan ditumpuk segala kekurangan.

Pun demikian, panglima tua itu (yang sudah dua kali di atas katil kematian), detak jantungnya tidak pernah mengatasi 80 per minit dan terlihat fokus; adalah panglima paling sesuai dan cocok untuk menjadi jeneral.

Untuk sesetengah orang, dia adalah maha zalim yang apathetik. Tetapi di sebalik persiapan untuk melawan dalam pertempuran kombat paling gila; panglima tua itu kekal tenang, rajin berseloroh dan seperti mana epik-epik purba; panglima tua berjaya.

Betul, panglima tua berjaya. Ia menjadi detik sangat bersejarah. Seorang panglima. Tua. Tidak larat patutnya. Luar biasa. Mengalahkan musuh ganas. Ini sejarah dunia.

Seperti mana semua panglima yang jantan, setelah berhempas pulas memimpin perang – dan berjaya – dia pun menjadi raja dan isteri panglima muda diangkat menjadi komandernya, orang kanan, atau pembantu.

Panglima muda dibebaskan. Wah, bebas. Bukan main. Bebas.

Musuh menyatu dan menyusun semula langkah mereka. Musuh itu korup dan busuk. Mereka bersekongkol dengan salah seorang sekutu lama panglima muda.

Kaum serban dan terompah kayu yang dulu benci korupsi, tetapi kini menukar keimanan mengatakan korupsi itu rukun dari kejihadan.

Apa yang panglima tua lakukan? Berusaha mengatur pasukan agar bersiap siaga untuk pertempuran akan datang. Demikianlah panglima tua itu waras.

Di sebalik pelbagai tanggapan, panglima tua tahu, pertempuran mendatang paling penting. Jika kalah, memang jahanam. Apakah yang akan ia katakan kepada kawan-kawannya?

Apa pula yang panglima muda lakukan setelah bebas?

Tak ada lain. Panglima muda rajin. Bukan sekali rajinnya. Rajin sekali mendesak panglima tua turun takhta dan menyerahkan takhta kepadanya meskipun dia tidak pernah berjaya memimpin pertempuran atau mana-mana peperangan.

Alasan panglima muda ialah “kamu hai tua sudah berjanji”.

Dan musuh makin mengasak, yakni semakin musuh menggasak, semakin panglima muda menjadi tidak sabar dan mendesak agar dia diangkat sebagai raja (meskipun pernah mengetuai pasukan perang, dan kalah dua tiga kali).

Dalam benaknya, kalau tidak kali ini, mungkin tidak sama sekali.

Gambaran itu amat menakutkannya. Dia tidak mahu jadi sejarah dunia. Berkali-kali mencuba, tetapi sekadar dinamakan penunggu.

Ketika masa lapangnya – yang mana selain menggelupur seraya menggalak semua suara soldadu agar panglima tua turun dan duduk diam – panglima muda juga memadu. Terdapat banyak peluang memadu. Negeri itu banyak buah yang ranum. Betik. Jambu. Ranum.

Ketumbukan panglima tua yang memang tidak begitu utuh itu kian rapuh kerana dia digalak mengosongkan tempatnya (padahal dia mengetuai pertempuran dengan jaya), manakala panglima muda berjalan keliling menabur kehendak, dan menuntut janji agar dia ditabalkan menjadi raja dengan segera – kerana dia juga semakin tua (mana ada kemudaan semakin muda, sebaliknya semakin bergerak ke arah ketuaan).

Musuh yang memang jahat mulai beralih kulit, seekor ular yang hitam, ia juga kini menjadi kehijau-hijauan ibarat ular daun. Kini ular itu kian bercabang lidahnya.

Setiap hari panglima tua menyusun strategi untuk mempersiapkan ketumbukannya agar dapat berdepan dengan ular jijik tersebut. Pertempuran akan berlaku lagi.

Jika tewas, korupsi akan melingkar dan menjerat seisi negeri. Jika itu terjadi, jahanam sungguh. Kawan-kawan panglima tua akan membentak seperti dulu.

Bukan itu sahaja, musuh terdiri dari ular itu menyembur bisa di mana ular akan menuntut agar semua peraturan rimba diresmi atas nama Tuhan. Pertempuran akan datang adalah pertempuran bahaya.

Ia jauh lebih bahaya daripada pertempuran terdahulu. Itulah sebetulnya pertempuran hidup mati. Yakni hidup mati untuk sebuah negeri.

Juga hidup mati untuk kawan-kawan dan kerabat panglima tua.

Di tengah kesibukan itu, panglima muda juga menyusun rencana untuk mendesak panglima tua pergi, beredar, nyah segera; kerana masa semakin bergulir dan panglima muda juga kini semakin tua.

Panglima muda juga serasa terancam kerana panglima tua dilihat memanjakan ramai panglima muda lain yang nampaknya sudah mahir bermain senjata.

Panglima muda itu ada yang memang lawa-lawa, dan tampak sedang belajar menggunakan senjata dan memahiri semua ilmu pertempuran dengan baik.

Panglima muda khuatir panglima yang lebih muda akan menutup peluangnya untuk menggantikan panglima tua. Fokus panglima muda ialah agar dia cepat-cepat ditabalkan. Tumpuan panglima tua ialah perang masa hadapan.

Rakyat seisi negeri memerhatikan. Rakyat mengah, berpeluh, resah dan tertekan.

Mana tidaknya? Di luar pagar ada ular siap untuk mematuk. Di dalam istana, panglima tua dan pasukannya terlihat terkial dalam sukar tanpa pengalaman, dan berusaha menjaga agar negeri dan keselamatannya dapat diuruskan secara (konon) benar.

Terdapat banyak imbangan yang para menteri perlu pelajari. Imbangan untuk rakyat. Untuk rakyat. Rakyat. Dan imbangan untuk pemodal. Kaum pemodal. Modal.

Ia imbangan yang payah dan ngeri. Menteri baru ini kejap mengecap rasa lazat untuk mengimbang-ngimbang dan baru cuba menimbang-nimbang.

Musuh makin bergabung. Segala jenis ular mulai berhimpun di luar pagar. Taring dan lidah bercabang.

Panglima muda apa yang ia lakukan? Mendesak, menyalak, menggalak dan menghentak-hentak kakinya agar cepat diberikan piala. Dia harus minum dari piala emas itu.

Sudah bertahun dia menanti untuk minum dari piala emas itu. Dia menuntut janji. Ini kerana panglima muda juga sudah berjanji, saat dia beroleh piala itu, dia akan memberikan kepada ramai yang menggonggong setia untuknya, merasa sedikit manis bira dalam piala. Agar boleh mabuk bersama.

Rakyat sedang terkepung ngeri. Di luar ular akan melingkar. Di istana, panglima tua semakin hilang imbangan. Dan di luar istana juga ada soldadu lapar.

Mereka marah kerana tidak dapat mabuk. Sudah banyak kali bertempur tetapi kalah. Jadi mereka ingin sekali beroleh kemabukan itu. Mereka berhimpun di belakang panglima muda.

Mereka menjerit-jerit nyaring, “Cepatlah beri kami peluang sekali pun tak mengapa. Untuk mabuk. Kami berhak mencicip bira itu. Kami berjuang lama untuk minum bira. Dan bira kuasa itu akan memabukkan. Berilah kami mabuk walau sekali. Kan kamu dah janji. Hei tua, berilah.”

Dan ular makin memanggung kepala, bersiap untuk melompat dan menerkam dengan bisa korup yang sebelum ini sudah ditepis.

Rakyat di tengah ada yang bebal mendambakan ular. Janji ular juga terlihat manis. Tidak semua mengerti ular itu ular. Panglima tua sedang menyusun rancangan. Apa yang dia harus lakukan?

Dan panglima muda kian kuat sorak-sorainya.

Rakyat waras terdengar sayup-sayup: “Hei tua, berilah. Kami nak mabuk, nak mabuk. Mabuk. Walau sekali. Kan dah janji?”

Korus itu menjadi kuat dan lantang, tetapi terpenggal keseluruhan ayatnya, lantas yang tinggal hanya satu kalimat. Mabuk.

Dan rakyat mendengar kata “mabuk” itu kian bersipongang. Di luar, ular kian mendesis, menampakkan taring dan memapar bisa.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *