DAP jangan terlalu agresif campur isu kewarganegaraan, kata PAS

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan DAP sebagai “semakin agresif” dalam memberi tekanan untuk melonggarkan syarat kewarganegaraan.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai merujuk langkah kerajaan mengkaji untuk meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

“PAS mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mencampuri secara keterlaluan urusan permohonan kewarganegaraan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“PAS melihat DAP secara agresif memberi tekanan untuk melonggarkan syarat kewarganegaraan termasuk cadangan meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.



Kenyataan itu hadir selepas media melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang berkata kerajaan sedang mengkaji untuk meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapatkan status kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara automatik.

Bagaimanapun, jelas Tuan Ibrahim, pindaan itu akan membuka ruang kepada dwi kerakyatan atau pertindihan taraf kewarganegaraan anak.

Selain itu, ahli parlimen Kubang Kerian itu turut menyatakan kebimbangan tentang pemegand kad pengenalan yang menurutnya tidak tahu berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu.



“Pada masa ini, KDN sewajarnya diberikan ruang untuk mengemaskini kelemahan yang terdapat dalam proses kewarganegaraan sehingga menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian kad pengenalan.

“Rakyat juga sangat bimbang dengan situasi lambakan pemegang-pemegang kad pengenalan yang tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu walhal pengetahuan asas dan sesi temu duga ujian Bahasa Melayu adalah pra syarat untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

“PAS mahu KDN terus membongkar dan menangkap semua dalang yang terlibat dalam isu penjualan MyKad. Isu ini sangat bahaya dan perbuatan khianat berbanding pelbagai isu remeh temeh yang sengaja ditularkan untuk menutup kontroversi ini,” katanya.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker