Sudah sebulan, apa hasil siasatan KLIA disabotaj?

Oleh Johardy Ibrahim

KHABARNYA, dua pegawai tertinggi pengurusan kanan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) telah diwawancara polis Khamis lalu, bagi membantu siasatan ekoran kejadian kerosakan sistem operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), genap sebulan yang lalu.

Nampaknya kes ini akan tergolong dalam `fail kes paling rumit’ yang ditangani Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun ini. Sangat jarang sampai sebulan pihak polis tidak dapat tampil dengan sebarang penemuan.

Difahamkan, polis telah menyiasat atas bawah depan belakang tuduhan sabotaj yang kononnya dilakukan oleh warga Jabatan Teknologi Maklumat (ITD), yang juga telah membuat laporan polis rasmi menafikan tuduhan tersebut.

Kesemua mereka digantung tugas sejak kejadian itu dan paling terbaharu, mereka diberi surat amaran supaya tidak berhubung dengan media. Soal siapa sumber memberitahu media, adalah tidak relevan kerana terdapat dua dimensi dalam kes ini:

1. Kita mahu tahu apakah benar-benar wujud unsur jenayah iaitu sabotaj yang didakwa dilakukan ke atas KLIA pada 21 Ogos dan berlarutan lima hari sebelum dapat dipulihkan, dan apakah motif KLIA disabotaj?

2. Keadilan dan kewajaran terhadap petugas yang telah berkhidmat 20 tahun dituduh sewenang-wenangnya menjahanamkan sistem operasi KLIA, dan motif tuduhan itu dilemparkan. Apakah mereka jadi kambing hitam? Dan jika terbukti tidak bersalah, apakah orang yang menuduh itu boleh didakwa sebagai membuat laporan palsu?

Kita yakin polis juga menyiasat seluruh ekosistem perniagaan MAHB yang sememangnya dianggap angsa emas kepada negara, apakah ada permainan catur daripada entiti lebih besar tetapi sembunyi tangan?

Kita tidak minat bermain teori konspirasi tetapi sesiapa yang meneliti satu demi satu perkembangan MAHB dari awal tahun, pasti dapat melihat betapa ramainya entiti yang mempunyai kepentingan dan pasti rugi jika tidak berniaga dengan MAHB.

Kita juga tidak berminat mengajar polis buat kerja. Kita akui PDRM adalah cekap. Cuma dalam kes KLIA ini, bila cecah sebulan kejadian tanpa hasil konkrit, ini sesuatu yang jarang PDRM rekodkan.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker