Mula-mula ‘berkawan biasa’, Insya-Allah lama-lama jadi ‘Best Friend Forever’.

‘Kawan’ baik selamanya.

KAWAN yang baik bukan sahaja bersama dengan kita pada waktu suka, tetapi turut bersama ketika waktu duka. Beruntunglah mereka yang mempunyai kawan baik sebegitu rupa.

Malangnya, bukanlah mudah untuk mencari kawan yang baik dan ikhlas bersahabat dengan kita, apatah lagi menerima kita seadanya.

Sebenarnya ada kawan yang paling baik dalam dunia ini yang sentiasa bersedia untuk berkongsi dan bersama-sama kita, tetapi sering ditinggalkan dan dilupakan oleh kita.

Kawan yang baik ini setia berdamping dengan kita pada waktu suka mahu pun duka. Kawan ini juga bukan sahaja akan bersama dengan kita ketika di dunia, tetapi akan turut menemani kita di akhirat nanti.

Hati yang kusut akan tenang apabila bersama dengannya. Jiwa yang berkecamuk akan damai apabila berdamping dengannya.

Siapakah kawan yang paling baik itu? ltulah al-Quran. Ya! Al-Quran sudi menjadi kawan kepada sesiapa sahaja yang ingin berkawan dengannya. Pagi, petang atau pun malam, al-Quran setia menunggu kita untuk berdamping dengannya.

Di rumah, di tempat kerja mahu pun di stesen bas dan komuter, al-Quran sentiasa bersedia untuk kita. Ada yang besar. Ada yang kecil. Ada juga yang bertafsir dan boleh dibawa ke mana sahaja.

Bahkan dengan teknologi semasa, al-Quran turut tersedia telefon pintar dan mudah dibawa ke mana-mana.

Persoalannya adakah kita sudi untuk berkawan baik dengan al-Quran atau sebaliknya.

Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya Allah mempunyai ahli dalam kalangan manusia.” Para sahabat kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka?”

Baginda menjawab, “Merekalah ahli al-Quran iaitu ahli Allah dan golongan pilihan-Nya.” – Riwayat lbn Majah

Dalam hadis Iain, Nabi bersabda: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita berkawan dengan al-Quran, membaca ayat-ayatnya dan menghayati makna serta tafsirannya.

Kalau sehari kita boleh duduk berjam-jam menghabiskan masa dengan melayari Internet atau menonton televisyen, apalah salahnya memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk membaca al-Quran.

Mula-mula ‘berkawan biasa’, Insya-Allah lama-lama jadi ‘Best Friend Forever’.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker