Negara Tanpa Hala Tuju, Umpama Kapal Di Lautan Yang Tidak Ada Nakhoda – Najib

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan negara hari ini seolah-olah sebuah kapal di lautan yang tidak mempunyai nakhoda untuk memegang ‘steering’ kapal yang menyebabkan keadaan kapal tersebut tidak stabil.

Soal beliau bagaimanakah kapal berkenaan dapat menstabilkan kedudukan setelah seringkali berubah arah malah lebih memeritkan situasi serta keadaan, masing-masing yang berada di dalam kapal tersebut mempunyai ‘mimpi’ yang berlainan?

“Cuba bayangkan sekarang ini… kerajaan Malaysia dipimpin oleh empat parti yang mempunyai mimpi dan matlamat yang berlainan antara satu sama lain. Sebab itulah kita merasakan negara kita ini seolah-olah sebuah kapal di samudera yang tidak ada nakhoda memegang ‘steering’ sekarang ini.

“Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, idea yang bukan-bukan serta karut-marut masuk, ada pula tiba-tiba mimpi bas 80-an, kita dah perkenalkan MRT, ‘world class’ MRT tapi kita nak balik zaman mini bas. Saya perkenalkan MRT… kemudiannya ada menteri PH naik kali pertama terkejut tak ada pemandu…,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Penyatuan Ummah di Dataran Yayasan Wangsa Perdana, Taman Ibu kota, Ahad malam. Turut serta Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ust. Azhar Yahya; Ketua UMNO Wangsa Maju, Datuk Mohd Shafei Abdullah dan pimpinan setempat yang lain.

Selepas itu tambah Najib lagi ada juga yang janji macam-macam dan sebagainya lagi.

“Saya jumpa pelajar undang-undang… mereka kata buku undang-undnag mahal. Bila kerajaan BN dahulu bagi RM250 kurang-kurang boleh beli satu buku… hari ini pelajar seperti itu tidak dapat apa-apa bantuan sama sekali.

“Ada pula menteri… ooo harga telur turun 2 sen buat sidang akhbar… harga telur naik tidak buat sidang akhbar. Sekarang ini saya tidak tahu berapa harga pasaran telur … saya tidak pergi pasar sehari dua ini.

“Lepas itu BR1M… BR1M ini bukannya ‘cash is king dan BR1M ini bukannya kita beli undi. BR1M ini kerana kita ambil daripada orang yang membeli lebih daripada orang lain kita gunakan hasil itu untuk kita pulangkan kepada mereka yang memerlukan pertolongan. Kita tolong orang yang memerlukan bantuan… yang dah kaya dan boleh jaga diri sendiri,” ujarnya.

Ujarnya lagi sebab itulah diperkenalkan GST sebelum ini dan ianya adalah sistem percukaian yang paling efisen di dunia yang digunapakai oleh 170 negara di dunia.

“Tiba-tiba kerana politik, kerana nak menang pilihan raya kononnya GSTlah yang menyebabkan harga naik tap hari ini harga turun tak?” soalnya.

Dalam ceramah itu juga Najib turut memulangkan paku buah keras kepada pimpinan PH yang sebelum ini sering mencanangkan ‘Najib turun’ mata wang negara akan naik.

“Canang Najib turun ringit akan naik… hari ini ringgit semakin turun. Kalau pergi negara Thailand… harga dengan Baht pun kalau zaman BN dulu 100 Baht RM11… hari ini RM15. Inikah negara kita.

“Kalau menang tempoh hari kita telah mempunyai perancangan… perancangan besar untuk negara kita. Saya telah melakar Dasar Transformasi Nasional di mana dalam masa tiga empat tahun akan datang selepas 2018 insya-Allah kalau dasar itu diberi peluang dilaksanakan kita akan menjadi negara berpendapatan tinggi. Satu kebanggaan untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker