Isu Kampung Baru: Kadar RM850 setiap kaki persegi rendah

SHAH ALAM – Tawaran harga RM850 bagi setiap kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi kepada pemilik tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur dianggap rendah daripada kadar sepatutnya.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Datuk Nazri Mustafa berpendapat, harga yang sepatutnya ditawarkan adalah sekitar RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap kaki persegi.

“Mungkin ada yang berpendapat harga RM1,000 bagi setiap kaki persegi itu masih rendah jika dibandingkan dengan harga tanah lain sekitar Kampung Baru.

“Sebenarnya status kawasan itu adalah tanah rizab Melayu dan harganya tidak setara dengan tanah berstatus pegangan bebas,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu Kampung Baru bukan perkara baharu kerana ia telah dibincangkan sekian lama namun, timbul persoalan mengenai kemampuan kerajaan untuk membeli keseluruhan tanah di kawasan itu.

“Jika kita lihat kepada situasi dan laporan mengenai prestasi ekonomi sekarang, kerajaan berdepan dengan sedikit masalah. Ini dapat dilihat dengan penjualan aset-aset milik kerajaan,” katanya.

Beliau berpendapat, kerajaan perlu melaksanakan pembangunan di Kampung Baru mengikut fasa dan bukan menunggu sehingga keseluruhan tanah berjaya diambil alih menerusi pembelian.

“Jika projek bagi fasa pertama ini berjaya, mungkin pemilik atau waris tanah Kampung Baru akan bersedia untuk menjual keseluruhan tanahnya,” katanya.

Katanya, persoalan mengenai kemampuan orang Melayu untuk memiliki semula hartanah di Kampung Baru selepas dimajukan turut menjadi tanda tanya.

“Meskipun dikekalkan sebagai tanah rizab Melayu, sudah pasti nilainya akan meningkat naik seiring dengan pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Kelmarin, pada Majlis TownHall Pembangunan Kampung Baru, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, pemilik tanah di kawasan itu ditawarkan harga RM850 setiap kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker