PAS nak berjuang bersama GPS demi Sarawak

Share


Beberapa hari selepas mengajak penduduk Sarawak untuk menghalang DAP daripada menguasai negeri itu PAS semalam menzahirkan keinginan mereka bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, berkata parti itu bersedia untuk bergerak memperjuangkan hak-hak negeri terbabit di sebalik pelbagai tuduhan yang dikenakan kepada mereka.

“PAS selalu dilabelkan sebagai parti Islam yang ekstrem. Ia tidak adil.

“PAS sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dan bangsa lain jika mereka bersedia menerima dasar kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selepas mendapat sokongan pelbagai kaum – termasuk Cina – dalam beberapa pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, PAS dilihat seperti kembali kepada era 1980-an apabila menunjukkan pengaruh di negeri utara dan timur Semenanjung Malaysia akhir-akhir ini.

Di Selangor misalnya, selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, PAS cuma mempunyai satu kerusi daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi DUN berkenaan selepas PRU ke-14 tahun lalu.

PAS mengajak penduduk Melayu dan Iban di Sarawak agar bekerjasama menghalang Cina DAP daripada “menguasai” negeri berkenaan.

Baca ‘Jangan biarkan Cina kuasai Sarawak’

Pertengahan bulan ini Abdul Hadi mengajak penduduk bumiputera Sarawak berusaha menghalang negeri terbabit daripada dikuasai “Cina DAP”.

“Sebab itu kita (PAS) harap supaya rakyat selama ini utamakan, biar bumiputera yang menguasai Sarawak ini.

“Biar Melayu yang menguasai Sarawak ini… kita tidak (mahu) halau orang Cina, tidak! Tapi jangan (kita biarkan) orang Cina (DAP) menguasai Sarawak ini,” katanya seperti dipetik lidah rasmi parti itu, harakahdaily.

Untuk rekod, parti-parti Sarawak meninggalkan BN selepas gabungan itu kalah kepada PH dalam PRU tahun lalu. Mereka kemudian membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan mengambil pendekatan mesra kepada PH.

PAS menunjukkan keyakinan tinggi dalam PRU lalu dengan meletakkan calon di lima kerusi parlimen iaitu Petra Jaya, Sibuti, Kota Samarahan, Batang Sadong dan Batang Lupar.

DAP tak setia dalam hubungan

Bagaimanapun semua calon terbabit gagal mendapat undi yang signifikan daripada penduduk negeri terbabit.

Jofri berkata lawatan Abdul Hadi bertemu Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg, minggu lalu menunjukkan kerjasama di antara kedua-dua parti adalah mungkin.

Sementara itu Jofri berkata kenyataan Abdul Hadi di Bintulu baru-baru ini disalahtafsirkan.

Katanya PAS tidak mahu DAP menguasai kerajaan Sarawak seperti yang berlaku dengan kerajaan persekutuan hari ini kerana parti itu bersifat cauvinis Cina yang memberi tumpuan lebih kepada bangsanya sendiri, manakala etnik lain seperti penduduk Islam Melayu dan bumiputera dipinggirkan.

Katanya PAS mahu Sarawak terus diterajui oleh penduduk tempatan, khususnya yang beragama Islam dan bumiputera Melayu serta orang asal yang boleh berlaku adil kepada semua.

“Mengapa PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP? Kerana DAP terbukti tidak setia dalam membentuk hubungan.

“Adalah jelas bahawa DAP telah berada di Barisan Alternatif sebelum ini. DAP keluar selepas PAS tegas menegaskan dirinya dengan perjuangan Islam,” katanya.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *