Roboh Rumah Penduduk: PH Sengaja Sebar Propaganda Konon Warga Asing Tapi Dulu Rayu Undi Pada Mereka

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil mengesyaki Pakatan Harapan (PH) sengaja menyebarkan propaganda dan fitnah mengatakan bahawa penduduk-penduduk di Paya Jaras yang dihalau keluar dan dirobohkan rumah adalah warga asing dan bukan rakyat Malaysia.

Katanya, apabila mereka tidak mahu menolong penduduk dan ingin lepas tangan, tentunya pelbagai alasan, fitnah dan propaganda akan disebarkan oleh ahli-ahli politik PH ini.

“Semalam saya telah berjumpa dengan penduduk-penduduk di Paya Jaras yang rumah mereka telah dirobohkan oleh kerajaan. Kelmarin banyak propaganda dan fitnah telah disebarkan ke atas penduduk-penduduk di sini.

Saya syaki propaganda ini telah disebarkan oleh pihak PH dan penyokong-penyokong mereka. Propaganda-propaganda dan fitnah-fitnah itu adalah tidak benar,” tegas beliau dalam kenyatannya hari ini.

Katanya, antara propaganda ini adalah tapak rumah yang diroboh itu adalah semuanya di atas tanah milik kerajaan dan adalah tanah haram serta ahli politik dan Naib Presiden Amanah, Ustazah Mariam telah mengatakan bahawa penduduk-penduduk yang dihalau keluar dan dirobohkan rumah tersebut adalah warga asing dan bukan rakyat Malaysia.

“Apabila mereka tidak mahu menolong penduduk dan ingin lepas tangan, tentunya pelbagai alasan, fitnah dan propaganda akan disebarkan oleh ahli-ahli politik PH ini.

“Saya telah menyiasat dan berjumpa dengan penduduk berkenaan perkara ini dan mendapati bahawa walaupun ada rumah-rumah yang tidak bergeran diroboh, namun banyak juga rumah-rumah yang diroboh tersebut mempunyai geran yang sah.

“Dan hampir semua daripada 92 penduduk yang telah dihalau keluar dan diroboh rumah tersebut termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak adalah warganegara Malaysia.”

Katanya, jika tidak mana mungkin wakil-wakil rakyat PH di sini telah pergi merayu undi kepada penduduk-penduduk tersebut sebelum pilihan raya dahulu dan menjanjikan bahawa rumah mereka tidak akan diroboh dan akan menempatkan mereka di rumah SelangorKu yang baharu sebelum rumah diroboh.

“Jika cerita PH itu benar, buat apa janji dan rayu undi kepada warga asing asing? Ini tidak masuk akal dan mereka (PH) telah menipu lagi.”

Kini katanya, wakil-wakil rakyat PH yang telah menang pilihan raya yang lepas di kawasan ini langsung tidak nampak batang hidung.

“Saya harap Menteri Besar Selangor, YAB Amiruddin Shaari, Ahli Parlimen Sungai Buloh, YB R. Sivarasa dan ADUN Paya Jaras, YB Khairuddin mengambil perhatian serius tentang perkara ini dan tidak hanya galak berjanji untuk menang pilihan raya tetapi selepas itu melarikan diri dan bertindak dengan tidak berperi kemanusiaan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker