Entiti Politik Yang Berautonomi, UMNO Sabah Komited Hidang Tawaran Baharu – Ahmad Zahid

IKewujudan UMNO Sabah sebagai sebuah entiti politik berautonomi akan dimaktubkan dalam Perlembagaan UMNO yang akan dipinda dan disahkan dalam Perhimpunan Agung parti bulan November nanti, ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, tentunya autonomi kepada UMNO Sabah tersebut adalah peluang terbaik untuk negeri dan kepimpinan empat peringkat di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan untuk menterjemahkan bahawa UMNO negeri itu menghidangkan ‘new deal’ (tawaran baharu) kepada seluruh rakyat Sabah.

“Bagi menentukan bahawa UMNO Sabah komited bersama-sama dengan parti komponen yang ada dan (juga) penyatuan ummah yang telah dijalankan serta parti-parti lain yang akan turut serta bagi memberikan tawaran baru apabila tiba waktunya kelak.

“Oleh yang demikian, konvensyen pada hari ini tentunya akan memperincikan beberapa susun atur dan gerak kerja yang akan dilaksanakan oleh UMNO Sabah.

“Dan terus diperhalusi bagi pelaksanaannya untuk tiap-tiap kawasan parlimen, Dewan Undangan Negeri melalui pusat daerah mengundi dan cawangan-cawangan UMNO seluruh Sabah bersama dengan parti-parti yang lain yang bersama-sama dengan kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Sabah 2019 di Dewan Utama Bangunan UMNO Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut hadir ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO antaranya seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Rosni Sohar serta barisan kepimpinan MCA dan PAS negeri Sabah.

Selanjutnya, sebagai negeri yang pertama diberikan pengiktirafan mengadakan konvensyen, Dr Ahmad Zahid turut yakin dengan kepimpinan peringkat negeri dan di bahagian-bahagian di seluruh Sabah bagi merealisasikan rumusan yang akan dibuat dalam konvensyen UMNO Sabah itu.

“Kejayaan (konvensyen) pada hari ini adalah merupakan satu mercu tanda kepada kejayaan konvensyen-konvensyen UMNO di negeri-negeri lain.

“Dan tapak pada hari ini akan dijadikan panduan kepada rumusan-rumusan di negeri lain tentunya mengambil kira landskap politik di negeri-negeri yang berkenaan.

“Maka untuk acuan landskap di negeri-negeri Sabah, hanya orang Sabah yang mengetahui apa yang perlu dilakukan oleh kepimpinan UMNO Sabah untuk dihidangkan kepada kumpulan sasaran, rakyat Sabah,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata Sabah mempunyai potensi yang cukup besar, yang mana harus dikembalikan demi kepentingan rakyat negeri itu.

“Oleh kerana Sabah mempunyai potensi yang cukup besar bersama-sama dengan Sarawak apatah lagi Borneo atau Kalimantan di mana kita tahu Sabah dan Sarawak adalah merupakan sebahagian dari tanah Borneo ini, di mana potensi yang harus digali ini harus dijadikan sumber utama untuk dipulangkan kembali kepada rakyat Sabah, rakyat Sarawak.

“Oleh yang demikian, kepimpinan tertinggi UMNO amat komited untuk memperakukan rumusan-rumusan yang akan dibuat pada hari ini dan konvensyen ini cukup penting bukan sekadar rumusan di atas kertas tetapi bagi dilaksanakan,” katanya.

Dr Ahmad Zahid juga amat yakin dengan kesatupaduan kepimpinan di peringkat negeri, bahagian, pusat daerah mengundi dan cawangan-cawangan di Sabah bersama dengan parti-parti yang lain mampu memperolehi kejayaan di dalam pilihan raya umum akan datang.

Menjawab persoalan yang ditimbulkan mengenai Muafakat Nasional di Sabah, Dr Ahmad Zahid berkata negeri Sabah mempunyai acuan yang tersendiri dan kepimpinan negeri mengetahui apa yang terbaik untuk landskap mereka.

Dr Ahmad Zahid turut menghargai jasa dan komitmen bekas pengerusi perhubungan dan ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman kepada UMNO Sabah yang tidak dapat hadir ke konvensyen akibat masalah kesihatan dan sedang membuat pemeriksaan kesihatan. – UMNO ONLINE

https://mykmu.net/2018/02/05/konvensyen-pakatan-harapan-p-pinang-serlah-kegagalan-capai-kesepakatan-pembahagian-kerusi-dun/

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker