Roboh Rumah Musim Jerebu: Kerajaan Negeri Selangor Zalim

Kerajaan Negeri Selangor zalim dan tidak berperikemanusiaan… Itu yang disimpulkan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas tindakan mereka merobohkan kediaman penduduk di Kampung Kedondong, Paya Jaras, di sini.

Jelas beliau, sekolah di Selangor di arah tutup kerana masalah jerebu tetapi dalam masa yang sama kerajaan negeri membiarkan mangsa yang terlibat ini tinggal dalam cuaca yang tidak sihat tanpa ada sedikit pun rasa belas kasihan.

“Mereka ini manusia dan harus dilayan sebagai manusia. Dalam keadaan musim jerebu yang teruk ini, penduduk yang terbabit hilang tempat berlindung dan kerajaan negeri seakan tidak mempedulikan keadaan mereka.

“Bagi saya ini satu tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan… tidak sepatutnya berlaku. Lebih dikesalkan bila tidak adapun ADUN di kawasan ini yang mengambil tahu permasalahan ini.

“Berapa lama nak duduk di bawah khemah ini pun tidak tahu kerana tiada jangka masa pun sebab tidak ada rumah sementara disediakan. Roboh boleh roboh tetapi mereka ini harus dipindahkan ke tempat yang selamat untuk mereka duduk. Ini roboh tinggal macam itu… di sini ada bayi, kanak-kanak malah ada yang berpenyakit,” ujar beliau kepada media selepas melawat mereka yang terlibat di perkampungan tersebut.

Tambah Ismail, dari segi perundangan juga, tindakan kerajaan negeri adalah salah apabila mereka yang mempunyai geran juga terlibat.

“Mereka yang ada geran ada hak terhadap tanah mereka. Kalau nak ambil pun mesti ada rundingan.

“Tapi ini tidak bermakna mereka boleh robohkan rumah yang tidak ada geran…. Betul ada rumah tanpa geran tapi kalau nak dirobohkan sekalipun sediakanlah penempatan sementara yang selamat.

“Masa zaman Barisan Nasional (BN) memerintah dulu, sebelum dirobohkan kita siapkan rumah untuk mereka berpindah. Tetapi tindakan kerajaan negeri ini amat tidak bertanggungjawab sebagai sebuah kerajaan. Mereka gagal menjaga kepentingan rakyat,” bidas beliau.

Untuk rekod, penduduk yang terjejas kini ditempatkan di bawah khemah sementara yang dibina atas ehsan warga setempat tanpa kemudahan asas seperti tandas, tempat salin pakaian tertutup dan sebagainya.

Perkampungan ini dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pelebaran Sungai Kedondong bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku.

Pada 4 September lalu, kerajaan negeri Selangor menerusi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Sungai buloh, R. Sivarasa telah memberi jaminan kepada penduduk yang turun berhimpun secara aman di luar pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa tidak akan berlaku sebarang tindakan sehingga bulan November, namun kini sebaliknya berlaku. – UMNO ONLINE

Related Articles

One Comment

  1. adalah dusta serta munafik jika ada yang mengatakan menteri jaga agama si mujahid & kerajaan ph mengamalkan rahmatan lil alamin

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker