Kampung Baru: Pemilik mahu harga munasabah

KELUASAN Kampung Baru, Kuala Lumpur yang dibuka pada 1899 adalah
KELUASAN Kampung Baru, Kuala Lumpur yang dibuka pada 1899 adalah sebanyak 122 hektar. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Saudara Pengarang

RATA-RATA pemilik tanah Kampung Baru di Kuala Lumpur menyambut baik rancangan kerajaan untuk membeli tanah di situ bagi tujuan pembangunan semula.

Kampung Baru yang dibuka pada 1899 adalah seluas 122 hektar. Terdapat tujuh kampung (kpg.) di situ iaitu Kpg. Periok, Kpg. Hujung Pasir, Kpg. Atas A, Kpg. Atas B, Kpg. Masjid, Kpg. Pindah dah Kpg. Paya.

Kami Ahli Jawatankuasa (AJK) Pembangunan Kpg. Pindah menyokong sepenuhnya rancangan kerajaan untuk membangun semula tanah kami.

Kami berpendapat, projek pembangunan ini bukanlah sesuatu yang mustahil dilaksanakan jika dilihat perbelanjaan lebih RM12 bilion oleh syarikat-syarikat Malaysia untuk membeli dan membangunkan hartanah Battersea di kota London.

Ini kerana jumlah yang diumumkan kerajaan antara RM6 bilion dan RM10 bilion untuk membeli tanah Kampung Baru bukanlah begitu tinggi kalau dibandingkan dengan pelaburan yang dibuat di kota London itu.

Persoalan sekarang, apakah harga sesuai yang akan menarik minat pemilik untuk menjual tanah mereka? Kalau kita lihat harga semasa Kampung Baru, ia amatlah rendah berbanding harga tanah hak milik kekal di kawasan utama di Kuala Lumpur.

Harga purata di Kampung Baru adalah RM500 bagi satu kaki persegi (0.093 meter persegi) manakala harga tanah hak milik kekal di sekitar Kuala Lumpur melebihi RM3,000 untuk keluasan sama.

Penjualan tertinggi yang pernah direkodkan di Kampung Baru hanya RM850 bagi 0.093 meter persegi, jauh lebih rendah dari nilai kawasan sekitar.

Terdapat desas-desus mengatakan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. telah mengambil alih tanah Kampung Baru pada harga sekitar RM1,300 bagi 0.093 meter persegi untuk tujuan pembinaan stesen dan landasan transit aliran massa (MRT). Sekiranya ini benar, ia menjadi penanda aras baharu untuk harga tanah di Kampung Baru.

Pada pendapat kami, penawaran harga tanah Kampung Baru tidak boleh mengambil kira nilaian semasa semata-mata. Ia juga harus mengambil kira harga akan datang apabila kesemua tanah tersebut disatukan dalam satu geran dan apabila projek ini mendapat kelulusan pelan perancangan.

Oleh yang demikian, AJK Pembangunan Kpg. Pindah ingin menyarankan kepada kerajaan supaya menawarkan harga tanah Kampung Baru sekitar RM1,500 hingga RM2,000.

Pada pendapat kami, harga itu adalah kadar minimum yang sesuai dan mudah mendapat persetujuan majoriti penduduk.

AJK PEMBANGUNAN KPG. PINDAH

Kuala Lumpur

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker