Felda, apa sudah jadi sekarang?

oleh Johardy Ibrahim

SEJAK pembentangan Kertas Putih mengenai Felda pada Mei lalu, tidak banyak yang diketahui apa yang dilakukan terutama bagi menjamin kebajikan 112,635 peneroka di seluruh negara.

Sebagaimana semua maklum, Felda mencatat kerugian terkumpul berjumlah RM4.8 bilion bermula 2013 hingga 2017, manakala liabiliti yang hanya RM1.2 bilion pada 2007, mening­kat kepada RM14.4 bi­lion pada 2017.

Jumlah hutang antara pe­neroka dengan Felda pula ialah RM5.5 bilion, dengan RM2 bi­lion belum dimuktamadkan lagi. Hutang itu terbentuk akibat pinjaman yang diambil oleh peneroka daripada Felda, bagi tujuan penanaman semula sawit, perumahan dan sebagainya.
Aliran tunai Felda yang teruk, memberi impak besar terhadap para peneroka kerana agensi itu tidak lagi berupaya memberi bayaran sara hidup atau hasil semasa proses penanaman semula dalam tempoh yang sepatutnya.

Lebih memeritkan, wang pendahuluan yang dikeluarkan sebagai pinjaman kepada pene­roka, telah dikurangkan kepada RM1,000 daripada RM1,500 sejak Februari lalu namun keputusan itu ditarik balik setelah dibantah para peneroka.

Kertas Putih yang dibentang oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Azmin Ali turut mengenengahkan isu-isu yang menyebabkan permasalahan Felda masih berterusan dan sukar dikawal, termasuk aduan pe­neroka me­ngenai kelemahan pengurusan estet oleh Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP).

Secara umumnya, pemerhati industri ya­kin saranan agar FTP digabungkan dengan Jabatan Perladangan dan Jabatan Hal Ehwal Tanam Semula Felda sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan kos pentadbiran.

Fung­si asal FTP adalah me­ngu­ruskan estet merangkumi kerja-kerja tanam semula pengeluaran hasil sawit, kemudian dijual kepada syarikat kilang-kilang sawit milik FGV Holdings Berhad.

Malangnya, Felda tidak dapat membuat bayaran sepenuhnya kepada FTP disebabkan aliran tunai yang kritikal. Kesannya, FTP seterusnya turut mengalami masalah aliran tunai dan lambat membayar kepada pembekal dan syarikat pengangkutan yang menguruskan buah tuaian pe­neroka FTP. Hampir ke­seluruhan pembekal dan syarikat pengangkutan terdiri daripada kalangan generasi kedua Felda.

Tentunya di­sebabkan hasil buah tandan segar (BTS) yang rendah oleh FTP mengakibatkan peneroka ‘terhutang’. Ini menyebabkan hutang peneroka meningkat dari semasa ke semasa. Mengikut perjanjian, tahun ketiga iaitu pokok sawit mula berhasil, mereka akan mula meraih pendapatan lebihan, setelah ditolak semua kos. Namun yang berlaku disebaliknya, hutang peneroka terus bertambah kerana tiada pendapatan lebihan ini.

Dalam konteks FGV yang sepatutnya membayar Felda seba­nyak RM248 juta beserta 15 peratus keuntungan dan dividen yang keseluruhan dianggarkan RM500 juta. FGV gagal dalam menguruskan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan baik, menyebabkannya FGV gagal membayar Felda lebih daripada apa yang tertera di dalam kontrak sebanyak RM248 juta.

Inilah persoalannya sekarang, apa status pelan penggabungan FTP itu? Apakah sudah dibersihkan pengurusan Felda daripada ele­men ketidakcekapan yang tiada pengetahuan dan kepakaran me­ngenai perladangan kelapa sawit?

Dengan keadaan situasi yang melanda Felda juga FGV, moral dan semangat pekerja telah menjunam kerana banyak kemudahan dan fasiliti te­lah ditarik atau dihentikan serta kurang keyakinan dan kepercayaan dengan pihak pengurusan dalam menangani masalah yang dihadapi.

Masalah Felda sesuatu yang indikatif ke arah profesiona­lisme semasa. Kita mengharapkan diam-diam ubi membawa kepada penyelesaian jangka panjang yang mampan. Namun, setakat ini kita tidak melihat atau mendengar apa-apa menjurus kepada transformasi yang boleh memberi harapan baru kepada seluruh komuniti Felda.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker