Umur adalah ‘modal’ akhirat

Share


Umur adalah anugerah Allah SWT dan merupakan ‘modal’ untuk kita beramal ibadah sewaktu hidup di dunia.

Dunia pula merupakan ladang untuk kita bercucuk tanam yang hasilnya akan dituai di negeri yang kekal abadi iaitu akhirat.

Firman Allah SWT maksudnya: “Hai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa kamu kerjakan.” (Al-Hasyr :18)

Waktu adalah sesuatu yang amat berharga. Jika ia telah berlalu, tidak mungkin dapat dikembalikan lagi. Masa yang telah dilalui, hanya menjadi kenangan dan memori.

Malah, waktu yang berlalu juga memberi erti bahawa umur kita menjadi semakin berkurang sedang ajal semakin hampir.

Umur merupakan nikmat yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat nanti. Ia bukan suatu yang percuma.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Tidak akan berganjak kedua kaki anak Adam pada hari kiamat di sisi Tuhannya sehingga akan ditanya tentang lima perkara: Tentang umurnya dalam apa dia gunakan; tentang masa mudanya dalam apa dia habiskan; tentang hartanya dari mana dia peroleh dan dalam apa ia belanjakan; dan tentang apa yang dia amalkan daripada apa yang dia ;ketahui (ilmu).” Riwayat Tirmizi

Utusan



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *