Anwar yakin jadi PM tahun depan

Share


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi keyakinan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan kefahaman yang telah dibentuk sebelum ini.

Dalam sebuah temu ramah bersama Bloomberg TV, Presiden PKR itu berkata, peralihan kuasa itu dijangka berlangsung pada tahun hadapan.

“Ada kefahaman (yang dibentuk) yang ia patut berlaku di sekitar waktu itu (2020) tetapi saya tak fikir saya perlu terlalu ambil kisah bulan yang tepat,” katanya seperti dipetik portal Bloomberg hari ini.

Isu peralihan kuasa Perdana Menteri sering mendapat perhatian walaupun Dr. Mahathir berulang kali menyebut akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar apabila tiba waktunya kelak.

Semalam, Anwar menerima sokongan daripada Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) yang diterajui bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Dua pemimpin itu menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ketika Ahli Parlimen Port Dickson itu menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan Sabah di Kota Belud, Sabah.

Sementara itu, ketika mengulas tentang ‘saingannya’ untuk merebut jawatan Perdana Menteri – Menteri Hal Ehwal Ekonimi, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir – Anwar berkata, tiada tanda-tanda bahawa ada calon atau parti lain yang melobi untuk jawatan tersebut.

“Ini tidak menghalang sesiapa untuk memasang cita-cita. Dan ini pada saya agak tidak relevan.

“Sama ada ia telah dibincangkan, sama ada mereka diberi mandat, jawapannya adalah tidak,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *