Anwar sedang bersiap untuk rebut jawatan PM

Anwar sedang bersiap untuk rebut jawatan PM, kata penganalisis

Seorang penganalisis politik menyuarakan keyakinan bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim sedang mempersiapkan diri untuk merebut jawatan perdana menteri, bukannya menunggu Dr Mahathir Mohamad menyerahkannya kepada beliau.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, ini tergambar dalam satu temu bual dengan Bloomberg semalam apabila Anwar berkata, beliau menjangka untuk mengambil alih kedudukan itu daripada Mahathir pada 2020.

Beliau juga berkata, sokongan yang diterima Anwar daripada bekas ketua menteri Sarawak, Salleh Keruak dan bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia merupakan petunjuk tentang apakah yang akan berlaku.

“Garis perebutan itu akan menjadi lebih jelas selepas ini kerana Anwar perlu tahu siapakah penyokong dan musuh sebenar beliau,” katanya kepada FMT.

Dalam satu perjanjian yang dibuat dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar pada satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Mahathir beberapa kali berkata beliau akan menunaikan janji itu apabila “negara berada dalam keadaan baik”.

Azmi berkata, presiden PKR itu perlu menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan daripada kebanyakan ahli Parlimen sebelum mengambil langkah menuntut jawatan berkenaan, dan sokongan daripada Salleh dan Pandikar Amin seolah-olah menandakan langkah itu telah bermula.

Mengambil maklum Anwar menolak kemungkinan adanya pesaing bagi jawatan itu dalam temu bual tersebut, Azmi berkata, ia bertujuan memberikan mesej beliau memang pengganti Mahathir, selain memberitahu kesediaannya untuk menunggu selama dua tahun itu tidak boleh diubah.

Tempoh dua tahun itu berakhir pada Mei 2020.

“Saya tidak fikir Anwar akan menerima jawapan yang kabur sekarang setelah beliau menyebut garis masa yang spesifik,” katanya.

Dalam beberapa minggu ini, Mahathir dikritik oleh pembangkang dan beberapa pihak dalam PH berkaitan beberapa isu, antaranya penjualan aset kerajaan dan keputusannya untuk mempertahankan penceramah warga India Dr Zakir Naik.

Azmi berkata, perkembangan terbaru ini juga akan memberi tekanan kuat ke atas PH dan berisiko memecahkan gabungan politik itu kepada kem pro-Anwar dan pro-Mahathir.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmani berkata, beliau percaya Anwar memberi amaran kepada pencabarnya berhubung jawatan perdana menteri.

Beliau berkata, laluan yang perlu dihadapi presiden PKR itu tidak mudah kerana terdapat “banyak faktor dan permainan” yang wujud, dengan menyebut kerjasama antara PAS dan Umno adalah salah satu daripadanya.

“Jika Umno dan PAS boleh meraih sokongan orang Melayu luar bandar, Anwar akan berdepan masalah kerana banyak pihak dalam PH percaya bahawa hanya Mahathir boleh mengalahkan Umno dan PAS di kawasan berkenaan,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker