Bukan saja oleh DAP, itu tidak pelik dan kita sudah sedia maklum. Tetapi oleh sesetengah pemimpin Melayu dalam Kerajaan. Pemimpin Islam. Malah pemimpin yang tugas rasminya menjaga perihal Islam.

Menurut YB Dr. Mujahid Yusof Rawa (PAN), HPU ibarat ‘wedding of the year’. Maka, selaku tetamu yang tidak diundang, rupa-rupanya beliau telah menjadi pemerhati dari jauh, mengintai dan mengikut rapat majlis tersebut dengan minat yang mendalam.

Sehinggakan segenap perincian dan perjalanan majlis HPU ini ditelitinya penuh tekun.

Siapa yang suaranya lebih kuat ketika bernyanyi, siapa yang laungannya lebih lantang ketika bertakbir. Malah, tempat pelancaran yang dibuat di PWTC pun dipertikaikan

kononnya tidak neutral. Semuanya beliau ukur, ambil tahu dan ulas dengan serius.

Saya sendiri yang hadir pun tidak meneliti perkara tersebut sebegitu mendalam.

Malah, ketika orang Melayu yang hadir ke PWTC tempoh hari baru mula membahaskan isi kandungan piagam yang bersejarah tersebut, beliau telah terlebih dahulu mengkhatam dan menelaah isi kandungannya. Demikianlah berminatnya beliau dengan semua ini.

Namun, yang paling saya kesalkan adalah sikap prejudis dan pesimis beliau melihat orang Melayu dan Islam serta rakan-rakan bukan Melayu kami bersatu. Seolah-olah itu adalah jenayah kepada bangsa, kepada agama dan kepada negara.

Selepas penghinaan demi penghinaan yang dilemparkan oleh pemimpin DAP sebelum ini tidak dipedulikan, saya yakin parti cauvinis tersebut kini terpaksa mengerahkan ekor mereka pula untuk mengutuk usaha perpaduan orang Melayu.

Kerana, pada mereka, negara ini akan hancur, demokrasi akan tergugat, hak asasi akan terkorban apabila orang Melayu tidak lagi berpecah. Pada mereka, negara ini akan lebih mudah ditadbir, lebih mudah untuk maju dan moden jika orang Melayu tidak lagi bersatu, dan jika orang Islam tidak hadir sebagai satu ummah yang berkongsi tekad dan matlamat.

Apabila orang Melayu selaku bangsa induk negara ini bercakaran dan dipecahpecahkan oleh ideologi politik yang berbeza-beza, maka itulah makna sebenar demokrasi dan kebebasan. Itulah definisi sebenar politik yang progresif dan barangkali, itulah pengisian terbaik Malaysia Baharu.

Saya yakin, ramai sekali mereka di luar sana dapat melihat betapa mengarut dan dangkalnya pemikiran sebegini.

Pertama sekali, penyatuan ummah yang dipamerkan oleh UMNO-PAS bukanlah berkisar tentang siapa Islam dan siapa yang bukan. Ia adalah satu seruan untuk orang Melayu bersatu. Dengan penyatuan sebegini, akan lebih mudah untuk orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini bekerjasama dan membentuk Muafakat Nasional.

Jika sebelum ini, orang bukan Melayu sendiri pasti akan keliru. Melayu dan Islam versi manakah yang harus mereka dekati. Versi PAS atau versi UMNO atau yang mana satu? Mengapa Melayu itu mesti bermacam-macam jenis. Mengapa pula Islam itu mesti berbeza-beza. Penyatuan ummah ini setidak-tidaknya mampu membuang kekeliruan dan tembok perbezaan sedemikian.

Kedua, penyatuan ummah ini adalah satu seruan yang turut bertitik tolak dari kesedaran lepas. Betapa sebelum ini, kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini agak fanatik, berkompromi dengan kualiti, mengambil ringan isu integriti. Malah tidak mempunyai tawaran baharu yang benar-benar segar kepada bangsa dan tanah air yang sudah banyak berubah.

Kami sedar semua itu. Sangat sedar. Kami telah gagal. Kami telah mengecewakan ramai pendukung kami. Ramai orang Melayu yang marah. Ramai orang Islam yang kecewa.

Lantas, atas kesedaran itulah kami berubah dan melakukan penambahbaikan kepada diri dan parti. Kami mahu menjadi suara orang Melayu Islam yang bukan sahaja mewakili bangsa induk negara ini dengan lebih berkesan. Tetapi, melalui Muafakat

Nasional ini, kami mahu memastikan orang bukan Melayu boleh dilindungi dan diberikan hak mereka dengan lebih adil.

Ketiga, serangan lapuk dan skrip kitar semula YB Mujahid bahawa Barisan Nasional gagal menjaga institusi orang Melayu seperti MARA, Tabung Haji dan sebagainya hanya menunjukkan betapa beliau masih taasub dan terperangkap dengan cerita lama. Beliau masih mahu mengungkit-ungkit.

Nampaknya, beliau tidak mahu UMNOPAS berubah. Beliau seolah-olah cacing kepanasan apabila ada kesilapan kami dahulu yang mahu diperbetulkan. Nasihat saya mudah, please move on.

Berhikmahkah ungkitan sebegini diulang-ulang oleh orang yang mendakwa mahu mempromosikan konsep Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam? Adalah ini suri teladan terbaik yang YB boleh contohkan ketika melihat orang Islam mahu membetulkan diri dan berubah menjadi lebih baik?

Di mana semangat hijrah, sokongan ikhlas dan doa yang tulus yang sewajibnya hadir apabila melihat orang lain ingin berubah dan melakukan kebaikan? Beginikah akhlak dan sikap Muslim yang beliau ingin pamerkan untuk diikuti oleh orang bukan Islam?

Berbekalkan rasa bangga yang menebal kerana kononnya ramalan YB benar belaka, saya boleh mengusulkan kepada UMNO dan PAS untuk menganugerahkan pingat nujum negara kepada YB. Bukan mudah untuk mereka yang dahulunya berguling di jalanan kini menjadi pengulas politik yang berat sebelah. Saya percaya, bukan mudah

untuk YB menyerang saudara seagama yang ingin berbaik-baik. Melainkan semua itu adalah keterpaksaan kerana memakan budi mereka yang menaja kelangsungan politik parti YB.

Keempat, jika YB Mujahid benar-benar ingin mengimbas kembali semua ungkapan dan pendirian pemimpin PAS sebelum ini, dalam usaha mengadu domba dan melagalagakan orang Melayu, nasihat saya, hentikanlah. Jadilah orang dewasa.

Sekalipun YB benar-benar mahu mengimbas ucapan pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini, saya sarankan kita imbas bersama petikan ucapan Mantan Yang Dipertua PAS semasa Muktamar Tahunan PAS Malaysia, Allahyarham Haji Yusof Rawa, yang juga ayahanda YB yang sangat saya hormati. Lama dahulu beliau pernah menyeru agar kita, selaku umat Islam untuk ‘menjadi mereka yang mentarbiah atau ditarbiahkan’.

Dan yang paling mengesankan saya YB, pesanan arwah untuk kita berhati-hati.

Kerana, ‘tidak mustahil, musuh-musuh Islam sendiri berusaha mewujudkan jemaahjemaah Islam tertentu untuk membangkitkan perpecahan di kalangan pencinta Islam dari dalam.’

Kalau mengikut interpretasi kasar saya, bolehlah dikatakan bahawa arwah cuba mengingatkan kita tentang kedatangan golongan Islam yang ditaja dan dikawal oleh cauvinis bukan Islam untuk memecah-belahkan orang Islam. Sounds familiar, YB? Tetapi itu hanyalah menurut pandangan saya. Mungkin YB ada pandangan berbeza. YB pasti lebih tahu dan mengerti.

Allahyarham juga ada mengingatkan, ‘apabila jemaah-jemaah (Islam yang pelbagai dan berlainan) ini lahir dengan membawa hal masing-masing, dan berbangga dengan manhaj masing-masing, bersengketa dan bersaingan secara tidak sihat, kelahiran berbagai-bagai jemaah ini menjadilah ia suatu unsur negatif kepada perjuangan dan melemahkan barisan pencinta Islam’ Tidakkah ungkapan dan pesanan ini mengajarkan kita sesuatu yang penting? Tidak timbulkah walau sedikit rasa insaf di hati kita untuk mengambil iktibar dan berusaha untuk menguatkan kembali masyarakat ini yang sedang membawa haluan masingmasing?

Sekali lagi saya tegaskan, gelarlah apa pun kepada kami. Ungkitlah seribu cerita dan percakaran yang kami pernah lakukan ke atas sesama kami sebelum ini. Teruskan bercerita tentang kegagalan kami yang lalu.

Tetapi, ingatlah. Semua itu tidak akan sedikit pun melemahkan kami. Semakin kami diingatkan tentang perseteruan sesama kami umat Islam pada masa lalu, semakin kami terpanggil untuk bersatu dan kembali berbaik-baik.

Semakin kami diingatkan tentang kebejatan serta kegagalan pemimpin kami yang lepas, semakin kami bersemangat untuk membetulkan keadaan dan kembali membawa kebaikan. Kepada semua orang Melayu dan Islam, kepada saudarasaudara kami yang bukan Islam dan semua rakyat Malaysia.

Sesungguhnya kami sedang mulakan satu usaha menjadikan bangsa dan negara ini lebih baik. jadi, tidak perlulah kami nyatakan apakah gelaran yang sesuai kepada mereka yang mahu menggagalkan usaha ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Naib Presiden UMNO

***Penafian : Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia

sama sekali tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan

Malaysia dan Utusan Online.