Islam, Syiah dan Perlembagaan

BARU-BARU ini, kita dikecohkan dengan serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor di markas Syiah Hauzah ar-Ridha di Gombak, Selangor dan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor di markas Syiah di sebuah rumah agam di Taman Bukit Kempas, Johor.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) adalah antara salah satu badan yang telah mengecam tindakan jabatan agama yang menyerbu markas-markas Syiah di samping beberapa badan bukan kerajaan yang lain.

Suhakam berpandangan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tidak mentakrifkan apa yang dimaksudkan sebagai Islam serta tidak menetapkan mazhab atau aliran pemikiran tertentu dalam amalan Islam di Malaysia.

Sebagai pengamal undang-undang, saya berpendapat pandangan Suhakam sedikit tersasar dan kurang tepat. Memang benar, Perkara 3 Perlembagaan memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan di negara ini. Walaupun Perlembagaan adalah diam dan tidak mendefinisikan secara spesifik mazhab yang perlu diikuti oleh orang Islam di Malaysia, namun terdapat beberapa peruntukan perundangan negeri-negeri yang menyentuh aspek ikutan dan rujukan mazhab bagi negeri-negeri di Malaysia.

Kuasa sultan

Memandangkan agama Islam di bawah bidang kuasa sultan dan negeri, jadi amat wajar untuk Perlembagaan Persekutuan dibaca secara bersama dengan Perlembagaan Negeri serta peruntukan undang-undang syariah negeri.

Secara umumnya, mazhab yang menjadi rujukan di Malaysia adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia berpandukan kepada peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan negeri. Contohnya, Perlembagaan negeri Kedah, Kelantan dan Perlis secara khusus menyatakan bahawa agama Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah agama rasmi negeri dan sultan mesti bermazhab tersebut. Perlembagaan Negeri Perak pula menyatakan agama Islam adalah agama rasmi negeri dan bermazhab Shafi’i.

Selain itu, hampir kesemua enakmen negeri mentafsirkan hukum syarak sebagai undang-undang Islam mengikut mana-mana mazhab yang muktabar dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Daripada aspek fatwa, khususnya perkara berkaitan fiqh dan akidah, enakmen negeri memperuntukkan rujukan pada mazhab apabila sesuatu keputusan fatwa hendak dibuat iaitu dengan merujuk kepada mazhab Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Kedudukan mazhab Ahli Sunaah Wal Jamaah turut disokong keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Mei 1996 bahawa ia adalah mazhab yang diiktiraf dan merangkumi aspek syariah, akhlak dan akidah.

Selain itu, mahkamah sivil dan syariah di Malaysia juga secara tidak langsung mengiktiraf mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai rujukan dalam kerangka undang-undang di Malaysia.

Kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah secara jelas merujuk kepada mazhab Ahli Sunaah Wal Jamaah sebagai asas kepada penghakiman.

Dalam kes Pendakwa menentang Abd Talib Harun dan Lain-lain (1995), mahkamah syariah memutuskan hukum syarak yang diamalkan di Johor (dan Malaysia) merujuk kepada mazhab Shafi’i dan tertuduh yang kononnya mengaku bermazhab Syiah Imamiah tertakluk dengannya.

Malah, mahkamah sivil turut mengiktiraf perkara itu dalam beberapa kes yang diputuskan. Contohnya, dalam kes sivil T Saravanan menentang R Subashini (2007), Mahkamah Rayuan Sivil menjelaskan mazhab yang diiktiraf di negara ini adalah merangkumi mazhab Shafi’i, Hanafi, Hanbali dan Maliki.

Jadi sudah jelas walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak mendefinisikan mazhab yang perlu diamalkan oleh orang Islam di Malaysia, namun Perlembagaan Negeri serta peruntukan-peruntukan syariah negeri mempunyai pendefinisian spesifik terhadap pegangan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Jika pertubuhan dan penganut Syiah ingin mempertahankan hak mereka, saya berpendapat ada satu cara untuk berbuat demikian iaitu dengan mencabar semua peruntukan undang-undang anti-Syiah di Malaysia sebagai tidak berperlembagaan di Mahkamah Persekutuan.

Kes itu bakal menjadi satu ‘pertempuran’ yang sangat menarik untuk dilihat.* Haeme Hashim ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/48147/KOLUMNIS/Islam-Syiah-dan-perlembagaan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker