Akal membezakan manusia dengan haiwan

Share


AKAL merupakan antara nikmat terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada manusia sekali gus membezakan kita dengan makhluk lain.

Dengan akal, kita dapat berfikir untuk menyelesaikan banyak perkara. Kita juga digalakkan berfikir tentang kejadian alam ini kerana ia akan membawa kita ke satu noktah bahawa alam ini telah dicipta oleh Pencipta Yang Maha Hebat.

Jika kita sering membaca al-Quran, kita akan menemui ayat-ayat yang mengajak kita berfikir tentang fenomena-fenomena alam.

Dengan berfikir, akan timbul perasaan dan keinsafan betapa kerdil serta lemahnya kita di dunia ini, bahkan Allah memuji orang yang gemar menggunakan akal fikirannya.

Ia sebagaimana firman Allah maksudnya: “-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.” (ali-Imran :191)

Akal juga perlu diawasi agar tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak bermoral.

Akal yang cerdas akan memikirkan terlebih dahulu sesuatu perkara yang diterima sama ada boleh mendatangkan manfaat atau sebaliknya.

Segala yang berfaedah akan diambil serta diamalkan, manakala perkara yang boleh mendatangkan keburukan akan ditolak ke tepi.

Kesihatan akal juga mesti dijaga. Akal akan menjadi lemah jika terlalu kuat berkhayal, tidur tidak cukup atau terlalu banyak serta makan secara berlebihan.

Akal yang sihat akan membolehkan tuannya bergerak aktif dan berkemampuan menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul tanpa memerlukan masa yang panjang.

Dalam menyelesaikan masalah yang timbul di tempat kerja contohnya, akal yang cerdas akan bertindak aktif bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Kadang-kadang kita berhadapan dengan golongan istimewa yang memiliki akal kurang sempurna. Kita perlu sedar bahawa mereka ini memiliki perasaan dan keinginan untuk bergaul dengan kita.

Oleh itu, amat wajar kita melayan mereka dengan sopan dan memberi bimbingan dengan sebaik-baiknya.

Apa yang jelas, insan istimewa tersebut mempunyai tanggungjawab yang sedikit berbanding dengan kita yang normal.

Ucaplah syukur kepada Pencipta akal kerana kita masih lagi waras dan dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Haruslah diingati bahawa jika tidak menggunakan akal dengan sebaik-baiknya, maka di akhirat nanti bersiap sedialah untuk dipersoalkan Allah.

Utusan



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *