AGENDA PERTAMA MUAFAKAT NASIONAL BUKAN PRU 15

Share


Oleh Mohd Zuhdi Marzuki
AJK PAS Pusat

Pasca Himpunan Penyatuan Ummah (HPU 914), terdapat beberapa pihak termasuk ahli-ahli akademik yang menyuarakan bahawa halatuju Muafakat Nasional tidak jelas meskipun piagam yang berkaitan dengannya telah dimeterai. Saya meyakini tanggapan mereka seperti itu adalah disebabkan mereka mahu satu paparan yang jelas tentang peta jajaran (roadmap) Muafakat Nasional menuju Pilihanraya Umum ke-15 (PRU 15).

Mereka mungkin mahu mengetahui tentang apakah manifesto Bersama, formula pembahagian kerusi, bayangan barisan kabinet dan lain-lain. Sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS sebelum, HPU 914 ini baru permulaan (baru buka dengan bacaan al-Fatihah), manakala PRU 15 masih jauh ke hadapan. Malah sekiranya perkara-perkara berkaitan PRU 15 telah wujudpun ia bukan untuk dikongsi umum atau belum tiba masanya untuk didedahkan.

Sebenarnya seusai sahaja HPU 914, agenda pertama Muafakat Nasional bukan PRU 15 tetapi satu kempen atau usaha besar-besaran untuk menyelamatkan negara Malaysia dan rakyatnya. Keempat-empat pimpinan PAS dan UMNO yang berucap semasa HPU 914, Presiden PAS, Presiden UMNO, Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Agung UMNO, membangkitkan keperluan menggembeling usaha untuk segera menyelamatkan negara.

Tempoh menunggu PRU 15 hampir empat tahun lagi memungkinkan PH melumpuhkan negara Malaysia menjadi sebuah negara gagal (fail state) sebagaimana yang diutarakan oleh Presiden UMNO. Presiden PAS pula menyebut keharmonian rakyat telah dirosakkan oleh hantu-hantu penjajah dan kestabilan negara diganggu oleh makhluk-makhluk perosak. Jelas sekali, kedua-dua pimpinan utama ini telah meniupkan semboyan untuk segera menyelamatkan negara.

Selepas Pakatan Harapan (PH) memperolehi kuasa pada 9 Mei 2018, satu persatu kerosakan negara telah berlaku dan ia semakin menjadi-jadi selepas ulangtahun pertama mereka berkuasa pada 9 Mei 2019 baru-baru ini. Kerosakan negara yang semakin ketara berlaku sekarang boleh dilihat kepada empat situasi berikut:

1. Malaysia Baharu telah meruntuhkan tonggak-tonggak kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara sehingga sudah mula bibit-bibit ketidakstabilan politik dan ketidakharmonian kaum.

2. Kerajaan PH telah menjadi sebuah kerajaan yang lebih teruk terpalit dengan korupsi, kronisme dan nepotisme sehingga bukan sahaja merosakkan malah mengancam kedaulatan negara dengan kewarganegaraan palsu, penjualan aset negara kepada pihak asing dan seumpamanya.

3. Malaysia Baharu telah terjerumus ke kancah kegawatan ekonomi yang serius dengan peningkatan hutang negara yang mendadak, penurunan nilai ringgit, penurungan harga barangan komoditi, kehilangan modal asing yang besar, kenaikan kos hidup dan lain-lain.

4. Kerajaan PH telah terbukti sebagai sebuah kerajaan kakistokrasi (kerajaan lemah) dengan barisan menteri-menteri yang tidak berdaya maju sehingga gagal untuk menunaikan janji-janji pilihanraya mereka sendiri serta tiada formula baru untuk memajukan negara.

Melihat kepada situasi-situasi yang semakin parah ini, agenda pertama Muafakat Nasional tidak boleh tidak harus segera menggembelingkan seluruh rakyat berbilang kaum untuk menyelamatkan negara Malaysia. Ketika para pemerhati politik menunggu-nunggu pelan menghadapi PRU 15, mereka mungkin terlupa ada agenda segera yang perlu dilakukan. – Harakahdaily

ULASAN PAPA

Saya amat bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh saudara Mohd Zuhdi Marzuki AJK PAS pusat. Tugas pertama Muafakat Nasional adalah menyelamatkan negara dari terus hancur dibawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Saya juga yakin, rakyat Malaysia sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain – lain juga bersetuju agar Malaysia diselamatkan dengan segera.

InsyaAllah, masa nya akan tiba dan setiap dari kita perlu bersedia untuk melakukan perubahan demi menyelamatkan Malaysia.

#PenyatuanUmmah
#MuafakatNasional
#KerajaanBumiputera



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *