Rumah Kosong RM 100 bilion & Taukeh Hong Kong.

Dalam keterujaan rakyat Malaysia menyaksikan penyatuan ummah antara dua parti Melayu Islam terbesar di Malaysia, Kerajaan Pakatan Harapan pula dilihat semakin lama semakin hanyut dalam mencari jalan untuk mentadbir urus negara.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah mengeluarkan satu kenyataan dangkal yang amat mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia. Dengan semberono beliau mengatakan bahawa nilai rumah (overhang unit) yang tidak terjual kini adalah sebanyak RM 100 bilion. Wow satu jumlah yang amat besar bukan?

Demi menyelesaikan permasalahan ini, YB Menteri KPKT yang bijak bestari akan mengambil langkah “proaktif” untuk menjual rumah-rumah tidak terjual tersebut kepada pembeli dari China dan Hong Kong. Alasannya mudah, mengikut pengamatan beliau yang pernah berkunjung ke dua negara tersebut, harga pasaran semasa untuk kediaman di sana adalah terlalu mahal, jadi alangkah bagusnya jika mereka boleh membeli rumah di sini.

Apabila dihujani dengan kritikan dari rakyat Malaysia, beliau segera menyalahkan Ahli Parlimen Pekan, yang juga Mantan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak. Kata Menteri KPKT tersebut, beliau telah bertindak sedemikian kerana wujudnya situasi overhang unit yang bernilai RM 100 bilion ini adalah disebabkan oleh salah tadbir dan salah urus kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa dahulu.

Zuraida Kamaruddin seperti juga rakan-rakannya di dalam Pakatan Harapan (PH) amat gemar meratibkan alasan sebegini jika tidak bertemu jalan penyelesaian terhadap isu semasa. Perkara utama yang perlu kita lihat di sini adalah, adakah benar jumlah rumah yang tidak terjual (overhang units) di Malaysia adalah sebanyak RM 100 bilion sepertimana yang dicanangkan oleh Menteri KPKT tersebut?

Menurut Pusat Makluman Harta Tanah Negara (NAPIC) yang dikawal selia oleh Kementerian Kewangan Malaysia, jumlah kediaman siap dibina tidak terjual pada tahun 2017 adalah bernilai sebanyak RM 15.64 bilion, manakala pada tahun 2018 jumlah tersebut meningkat kepada 32, 313 unit yang bernilai sebanyak RM 19.86 bilion. Sebuah rumah akan dikira sebagai overhang units apabila unit rumah tersebut tidak terjual setelah 9 bulan mendapat kelulusan selamat untuk didiami.

Jadi dari manakah sumber mengatakan bahawa sebanyak RM 100 bilion kediaman tidak terjual yang menjadi sumber asas Menteri KPKT untuk membuka jualan kediaman di Malaysia kepada China dan Hong Kong? Menurut satu kenyataan media dari KPKT, sumber RM 100 bilion yang mereka khabarkan itu datangnya dari REHDA (Real Estate & Housing Developer Association) sebuah persatuan pemaju hartanah dan kediaman Malaysia.

Setelah carian dibuat, penulis mendapati tiada satu sumber rasmi pun samada dari REHDA atau sayap kajian mereka REHDA Institute, yang menunjukkan data jumlah RM 100 bilion rumah tidak terjual. Malah pada kebanyakkan fakta yang dikeluarkan oleh REHDA adalah bersandarkan dapatan yang dikeluarkan oleh NAPIC.

Dalam hal ini, adakah Zuraida Kamaruddin telah berbohong dalam menyatakan nilai rumah tidak terjual adalah sebanyak RM 100 bilion dan bukannya hanya 19.86 bilion seperti mana yang telah dilaporkan oleh agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan sendiri? Adakah pembohongan ini dilakukan hanya untuk menghalalkan kerajaan menjual rumah kepada warga asing secara pukal sedangkan rakyat di Malaysia sendiri terkial-kial untuk memiliki sebuah rumah?

Penulis yakin kebanyakkan rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah pada masa sekarang disebabkan oleh kekangan ekonomi. Tambahan pula dengan harga rumah terlalu mahal yang tidak memungkinkan rakyat membeli rumah. Namun, adalah tidak bertanggungjawab untuk pihak kerajaan Malaysia khususnya KPKT menjadi penyelesai masalah kepada syarikat-syarikat pemaju besar sahaja tanpa memikirkan nasib rakyat Malaysia.

Formulanya mudah, bagi pemaju, tugas utama mereka adalah untuk mencari untung. Jika diberi pilihan untuk membina rumah mampu milik atau rumah mewah (tafsiran KPKT rumah mewah adalah rumah yang bernilai 1 juta ke atas), sudah tentu mereka akan memilih untuk membina rumah mewah. Mungkin disebabkan salah perkiraan, terlalu banyak rumah mewah telah dibina, permintaan rendah tetapi bekalan tinggi, seharusnya harga hartanah yang terlalu mahal kini dapat diturunkan.

Jika KPKT atau Kerajaan Malaysia sendiri menyokong usaha menjual hartanah Malaysia kepada rakyat asing, harga rumah sememangnya tidak dapat turun. Akhirnya, rakyat negara ini, tidak kira bangsa, ras, agama, warna kulit dan faham politik, akan terus menderita dek kerana tidak berupaya untuk memiliki rumah, sekalipun menyewa di negara mereka sendiri.

Penulis yakin, YB Menteri Perumahan berniat baik dalam membantu rakan-rakan dari kalangan pemaju untuk menyelesaikan permasalahan mereka, namun disebabkan kurang ilmu, langkah yang diambil bakal menjadikan bangsa Malaysia bangsat di negara sendiri. Disarankan YB Menteri KPKT dalam kesibukkan mentadbir kementerian agar dapat meluangkan masa mengambil kursus-kursus jangka pendek dalam bidang ekonomi atau hartanah yang ditawarkan oleh Universiti & Kolej di mana-mana tempat di Malaysia.

Kami faham YB Menteri KPKT masih lagi tercari-cari sijil lama dari National University of Singapore atau mana-mana institusi pengajian tinggi untuk membuktikan bahawa beliau sudah bergraduasi. Namun ingin penulis katakan di sini, sijil tersebut tidak begitu penting untuk waktu sekarang, yang sangat diperlukan adalah ilmu dalam bidang yang ditadbir supaya rakyat Malaysia tidak tersiksa dengan kedangkalan idea dan cadangan lesu dari YB Menteri KPKT.

Oleh Tun Seri Lalang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker