Penyatuan Ummah : Syaitan-syaitan pasti menangis

Setiuasaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa adalah Ahli Parlimen Ketereh. Rakannya daripada Pas, Datuk Takiyuddin Hassan Ahli Parlimen Kota Bharu. Kedua-dua mereka dari Kelantan.

Mereka berdua amat fasih tentang perbalahan kedua-dua parti ini. Mereka berdua juga amat kenal ‘peel’ Melayu. Mereka berdua tahu UMNO dan Pas untuk Islam cuma kaedah sahaja berbeza. Dan semalam, mereka berdua menjadi tulang belakang gerakan Piagam Muafakat Nasional yang bukan sahaja untuk umat Islam Melayu tetapi seluruh isi tanah kandung yang dinamakan Malaysia.

Kelantan kubu Pas. Sukar sangat ditembus oleh UMNO. Hanya 12 tahun di bawah UMNO. Itu pun selepas sedikit ‘sihir’ pada tahun 1978. Namun sejak 1990 sehingga hari ini Negeri Serambi Mekah di bawah Pas.

Sejak merdeka dan sehingga berakhir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sumpah seranah di antara kedua-dua pihak tidak pernah surut. Macam-macam yang digelar.

Namun PRU-14 membawa hikmah besar. UMNO kalah membawa kesedaran. Pas yang tidak pernah menang juga tersedar. Melayu dan Islam harus bersatu.

Maka dihimpunkan seluruh penyokongnya berpuluh ribu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memahat sejarah bersatu di bawah satu piagam.

Mereka duduk sebelah menyebelah. Unit Amal mengawal keselamatan. Skuad Sabil sedang belajar. Agak canggung. Hakikatnya, nampak mesra tetapi di dalam tiada siapa yang tahu. Masa yang akan mengubat luka lama di antara kedua-dua pihak.

Dua parti ini pernah bersama kurang lebih tujuh tahun sebelum berpecah pada tahun 1978. Perbezaan pendekatan itu semakin melebar sehingga timbul isu soal halal haram dalam kalangan pengikut masing-masing.

Justeru, mereka harus belajar daripada pengalaman lalu kerana harapan yang terlalu tinggi diletakkan oleh umat Melayu dan Islam. Jangan dijadikan penyatuan ini sebagai penyambung hayat politik mana-mana pemimpinnya.

Pas harus belajar memerintah daripada UMNO. Selama 60 tahun pengalaman sebagai kerajaan, mereka kenal semua pintu di Putrajaya. UMNO pula harus belajar daripada Pas cara untuk menjadi zuhud. Kesombongan yang dilihat rakyat menyebabkan mereka dihukum.

Muafakat Nasional hanya permulaan kepada perjalanan yang masih jauh. Banyak lagi ranjau di hadapan. Dan harus diingatkan bahawa, penyatuan ini bukan tiket mudah untuk kembali berkuasa.

UMNO harus dicuci ‘kasi’ bersih. Tiada lagi tempelan tahi yang busuk. Begitu juga Pas harus dilihat lebih progresif dan tidak jauh ke kanan. Tetapi tidak perlu diubah tradisi yang dijunjung selama ini.

Pakatan Harapan (PH) ada kuasa. Mereka juga ada otak. Lebih lagi, mereka ada ‘tangan ghaib’ yang datang membantu.

Kesimpulannya, Piagam Muafakat Nasional adalah sejarah besar untuk umat Melayu dan Islam yang bakal mengubah landskap politik negara. Bukan Melayu Islam tidak perlu gundah kerana sejarah membuktikan baik UMNO atau Pas, mereka tidak ditindas malah hidup di bawah junjungan Perlembagaan dan Rukun Negara.

Dan ucapan terima kasih harus diberikan kepada DAP kerana menyatukan kedua-dua seteru yang sebelum ini tidak boleh bertikam bayang. Kalian telah membuktikan nekad kalian dan kini, sampai masanya dua parti Melayu terbesar ini membuktikan apa yang mereka ada.

Syaitan-syaitan pasti menangis dengan penyatuan ini. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker